Kegigihan Dekk’s Mat berniaga dikagumi – Alexander
GOLONGAN Orang Kelainan Upaya (OKU) disarankan menceburi bidang perniagaan ke arah usaha meningkatkan taraf ekonomi mereka dengan memanfaatkan pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan.
Ini termasuk Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang membolehkan golongan itu mendaftarkan perniagaan baharu dan memperbaharui pendaftaran perniagaan secara percuma.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kemudahan itu sebahagian daripada komitmen agensi terbabit dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Inisiatif S1OKU1P bertujuan menggalakkan golongan istimewa ini menceburi bidang perniagaan secara sah di sisi undang-undang, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi mereka.
“Melaluinya, golongan OKU boleh mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka di SSM secara percuma bagi sebuah perniagaan yang diusahakan mereka,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyerahkan Sijil Pendaftaran Perniagaan SSM kepada usahawan Nasi Lemak Bujang Dekk’s Matt, Mohd Nor Abdullah di Amber Business Plaza berhampiran Kedai Kek LRT Cheras, di sini.
Ia disusuli penyerahan zakat korporat berjumlah RM3,000 kepada usahawan gigih itu yang disampaikan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad merangkap Pengerusi SSM sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz.
Alexander berkata, dengan mendaftarkan perniagaan di SSM, mereka dapat memberi keyakinan kepada pelanggan untuk berurusniaga, selain berpeluang mengembangkan potensi perniagaan yang diusahakan.
“Memiliki sebuah perniagaan yang sah amat penting bagi setiap usahawan, termasuk golongan OKU bagi membolehkan mereka memenuhi syarat permohonan untuk mendapatkan bantuan latihan kemahiran, kemudahan pembiayaan dan pelbagai inisiatif lain disediakan kerajaan,” katanya.
“Ketika ini, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 menetapkan fee bagi mendaftarkan perniagaan baharu dan pembaharuan pendaftaran perniagaan RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama tred dan RM30 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri.
Bagaimanapun, melalui S1OKU1P, golongan OKU dikecualikan daripada membayar fee berkenaan.
Setakat 31 Oktober 2020, sebanyak 12,161 perniagaan berjaya didaftarkan di bawah S1OKU1P, dengan 1,686 golongan OKU memanfaatkan skim itu sepanjang 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.
“Ia peningkatan empat peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan kita mengunjurkan perangkaan itu terus mencatatkan peningkatan hingga akhir tahun ini.
“Bagaimanapun, bilangan OKU yang memanfaatkan skim ini juga dilihat masih rendah iaitu hanya pada kadar 2.4 peratus berbanding jumlah keseluruhan mereka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu seramai 581,265 pada 31 Oktober 2020,” katanya.
Justeru, beliau menyeru lebih ramai golongan itu memanfaatkan kemudahan berkenaan, malah ia cukup signifikan bersempena Sambutan Hari OKU Peringkat Antarabangsa 2020 esok.
Kisah Mohd Nor, yang cacat kedua-dua tangannya sejak lahir, tular di laman sosial berikutan kegigihannya mengusahakan perniagaan nasi lemak bagi menyara kehidupannya.
Malah, kisah kegigihannya menjadi motivasi kepada masyarakat kerana tidak menjadikan kekurangan fizikalnya sebagai halangan untuk mencari rezeki, termasuk menceburi bidang perniagaan.
“Kegigihan Dekk’s Mat memberi inspirasi dan menyuntik semangat kepada kita semua untuk meneruskan kehidupan, terutama dalam keadaan serba mencabar ketika ini.
“Kerajaan, khususnya KPDNHEP sentiasa komited untuk membantu membina semula ekonomi domestik kita, terutama dalam memudahkan urusan perniagaan di negara ini, termasuk peniaga kecil seperti Dekk’s Mat,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai S1OKU1P boleh diperolehi melalui talian 03-7721 4000 (Pusat Panggilan SSM) atau emel [email protected] – SM