Keenakan ais kacang lejen tarikan ke Nat Pekan Tunjang
AIS kacang Nat (pasar sehari) pekan Tunjang, Kedah memang mempunyai tarikan luar biasa. Sekalipun peniaganya mengakui tiada sebarang resepi rahsia iaitu “sama sahaja dengan ais kacang lain di pasaran” tetapi kalau tak sedap, kenapa peminatnya sanggup beratur panjang.
Ada yang membungkus dan ada yang gemar menikmatinya di gerai berkenaan bersama makanan lain. Kesedapannya ais kacang nat ini sebenarnya sudah tersohor lebih 30 tahun lalu, maka ia sangat lejen.
Jadi tidak hairan peminatnya semakin bertambah kerana telah biasa menikmati ais kacang ini sejak kecil sehinggalah masing-masing beranak pinak.
Mana yang tinggal di luar Tunjang pula apabila pulang ke kampung pastinya mengambil kesempatan untuk menikmati ais kacang ini.
Tambahan pula perniagaan ais kacang ini ada pada hari nat Tunjang dibuka iaitu Ahad dan Khamis sahaja.
Kata peniaga ais kacang ini, Hasmah Ariffin, 41, beliau dan suami mewarisi perniagaan ini daripada arwah mertuanya.
“Saya belajar cara membuat ais kacang dari arwah sebelum mengambilalih sepenuhnya perniagaan ini selepas beliau meninggal dunia,” kata Hasmah.
Katanya, selain ais kacang juga dijual cendol yang dibuat oleh suaminya.
Apa yang menarik ais kacang sangat murah kerana hanya berharga RM3 untuk semangkuk dan jika dibungkus RM3.50 sen.
Dengan cuaca panas terik ini memang sesuailah wartawan Suara Merdeka ke Nat Tunjang untuk mencuba ais kacang yang disebut-sebut netizen ini.
Apapun dari pemerhatian semasa menunggu pesanan ais kacang, pasangan suami isteri yang berniaga ais kacang dan cendol ini dilihat memang tidak menang tangan kerana pelanggan datang bertali arus.
Setelah dirasa, diakui ais kacang ini memang sedap selain diletakkan kacang merah yang lembut, kacang goreng, cincau, jagung dan cendol juga diperisa sirap dan susu pekat tetapi terasa lemaknya apabila santan bercampur susu cair diletakkan sebagai “topping” terakhir.
Kata seorang pelanggan yang enggan dikenali, dia sebenarnya sudah datang kali kedua kerana pada awal pagi tadi barisan beratur memang panjang.
“Pemandangan ini adalah biasa dan pelanggan rela beratur kerana ingin menikmati ais kacang,” katanya.
Beliau juga meminta kacang merah lebih kerana rasanya yang lembut menambahkan lagi keenakan ais kacang.
Katanya, dia adalah pelanggan tetap di mana membeli setiap minggu. – SM