Politik

Kedudukan PH lebih baik jika mempertahankan ‘semangat manifesto’

SIKAP setengah-setengah pemimpin dalam Pakatan Harapan mempersendakan manifesto PRU14 dengan pelbagai alasan yang sesekali tak masuk akal telah membangkitkan kemarahan rakyat.

Menurut Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, sesetengah pemimpin Pakatan Harapan bermain-main dengan harapan dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat selepas mereka menang.

Jelas Nik Nazmi, sekiranya Pakatan Harapan berjaya melaksanakan semanagat manifesto yang diberikan kepada rakyat Pakatan Harapan akan berada dalam kedudukan yang selesa.

“Keadaan ini telah membangkitkan kemarahan rakyat, dan menyebabkan harapan yang subur tadi kembali pudar. Kita tewas dalam beberapa PRK, hilang sokongan bukan saja masyarakat Melayu (ketika dipimpin pemimpin yang dikatakan didokong masyarakat Melayu) malah masyarakat bukan Melayu.

“Kita memang ada melaksanakan sebahagian besar manifesto kita, tetapi kita memperlekehkannya. Saya percaya jika kita mempertahankan semangat manifesto dan berkomunikasi dengan lebih baik, kedudukan kita akan lebih baik,” kata Nik Nazmi.

Nik Nazmi berkata, Pakatan Harapan berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kerana mereka memberikan harapan kepada rakyat.

Parti itu dipilih menjadi kerajaan bukanlah semata-mata disebabkan individu atau parti politik tetapi harapan yang ditawarkan sehingga rakyat berani mengambil keputusan untuk menumbangkan kerajaan yang telah berkuasa lebih dari 50 tahun.

“Apabila kita diberi mandat, rakyat ingin melihat kita bebas dari rasuah dan mereformasikan institusi untuk mendapat kerajaan yang bersih. Harapan yang menggunung inilah yang menyebabkan rakyat memilih kita.

“Malangnya, sesetengah pemimpin Pakatan Harapan bermain-main dengan harapan dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat. Mereka mempersendakan manifesto PRU14 dengan pelbagai alasan yang sesekali tak masuk akal,” kata Nik Nazmi.

BACA Berilah peluang kepada Anwar jadi Perdana Menteri

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, dengan penurunan had umur mengundi ke 18 tahun suasana politik Malaysia juga akan berubah.

Menurutnya, pengundi muda pada hari ini kebanyakannya telah muak dengan permainan politik yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat.

“Dengan akses mereka kepada teknologi dan internet, sudah tentu mereka dapat melakukan perbandingan yang kritikal. Jika kita gagal menawarkan harapan baru kepada mereka, sudah tentu mereka tidak akan memilih kita,” kata Nik Nazmi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button