Politik

Kedutaan Amerika kecewa kenyataan Tun M nasihat Trump letak jawatan

KEDUTAAN Amerika Syarikat (AS) di Malaysia hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed terhadap Presiden Donald Trump.

“Kami kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri Dr. Mahathir mengenai Presiden Trump. Kenyataan Perdana Menteri tidak mempamerkan semangat dialog yang membina yang telah menjadi asas hubungan antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Menerusi sejarah Malaysia, kerjasama antara AS dan Malaysia telah membuahkan hasil yang penting untuk rantau ini dan global dengan bekerjasama dalam isu-isu keselamatan, perdagangan, pendidikan, kesihatan awam dan alam sekitar,” kata Kedutaan Amerika dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosialnya,” kata kenyataan tersebut.

Semalam, Dr. Mahathir secara sinis berharap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan meletak jawatan selepas sebahagian besar pelan perdamaian Timur Tengah disokong AS ditolak oleh Palestin dan sekutunya.

“Saya berharap rakyat Amerika akan membuat keputusan yang lebih baik.

“Ini adalah seorang lelaki yang mencemarkan peranannya dan dasarnya, cuba menggunakan tekanan asing untuk memenangi pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas menyampai ucaptama pada Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) semalam.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mengulas sokongan AS terhadap Israel dalam perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap tanah mereka sendiri.

Akhir Januari lalu di Washington, Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melancarkan pelan damai Timur Tengah yang dikritik hebat kerana memihak kepada Israel dan seolah-olah memberi harapan satu hari nanti Palestin akan mempunyai negara sendiri yang berdaulat.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button