Kedai makan dibenar buka 6 pagi hingga 10 malam
Fasa 2 PPN hanya akan berlaku selepas ambil kira tiga indikator
Restoran dan kedai makan dibenarkan untuk menjual makanan bermula pukul 6 pagi hingga pukul 10 malam berkuatkuasa esok.
Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara hari ini.
“Sebelum ini, operasi melibatkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.
“Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa 28 Jun,” katanya.
Sementara itu Ismail Sabri berkata, Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dikekalkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.
Ketiga-tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 Pperatus.
“Justeru, peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 akan mengambil kira ketiga-tiga indikator itu sebelum ia diputuskan.
“Secara keseluruhan, PPN adalah strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 yang merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh Fasa 1 di seluruh negara seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum disahkan hari ini.
Keputusan itu mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar.
Dalam fasa satu PPN, prosedur operasi standard PKP3.0 masih diguna pakai iaitu semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor-sektor perlu yang disenaraikan dalam senarai positif yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).-SM