Kebocoran data melibatkan Maybank, Astro dan SPR sedang disiasat
Cybersecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah diarah untuk menyiasat dakwaan kebocoran data membabitkan hampir 13 juta rakyat Malaysia yang dikongsi secara meluas di media sosial pagi ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kebocoran itu serius kerana ia melibatkan sejumlah besar maklumat.
“Saya akan meminta CSM dan JPDP menyiasat sama ada terdapat kebocoran data melibatkan pihak terbabit dan mengambil tindakan,” katanya.
Terdahulu, beliau berkongsi catatan seorang pengguna Facebook dengan nama “Pendakwah Teknologi” yang mendakwa maklumat pengguna mengenai hampir 13 juta rakyat Malaysia dari laman Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dibocorkan.
Maklumat yang bocor itu didakwa melibatkan ID log masuk, nama penuh, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan.