Rencana

Kebijaksanaan disebalik dasar Perdana Menteri

Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan bahasa Melayu ketika berucap dan berbincang semasa melawat Brunei, Kemboja dan Thailand baru-baru ini merupakan satu keputusan yang bijak.

Jika selama ini pemimpin negara hanya hingar soal memartabatkan bahasa Melayu, tetapi dipersada antarabangsa mereka masih mengagung bahasa Inggeris, kali ini buat pertama kalinya perdana menteri benar-benar memartabatkan bahasa Melayu.

Keputusan beliau membuka pelbagai ruang dan peluang baharu termasuklah memperkukuhkan delegasi dan hubungan diplomatik negara.

Jika sebelum ini kelemahan bahasa Inggeris mengekang petugas diplomatik, tetapi kini ia bukan lagi satu masalah, mereka hanya memerlukan penterjemah. Dan selepas ini lebih ramai penterjemah akan ditempatkan di kedutaan Malaysia di negara asing. Begitu juga delegasi diplomatik akan turut disertai penterjemah.

Ini membuka ruang dan peluang kepada kerjaya yang lebih mencabar serta menimba pengalaman lebih luas kepada para penterjemah.

Keputusan perdana menteri itu juga bermakna kakitangan asing yang bekerja di syarikat asing perlu menguasai bahasa Melayu untuk berurusan dengan kerajaan dan jika mereka tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan itu, syarikat terbabit perlu mengupah penterjemah.

Perdana menteri juga berjaya memecah belenggu penjajahan terakhir iaitu bahasa, setelah negara ini merdeka hampir 70 tahun.

Mereka yang pandai berbahasa Inggeris sering dianggap bijak, sedangkan di London semua berbahasa Inggeris dan ia tidak menjadikan mereka lebih bijak daripada mereka yang berbahasa Melayu.

Bahasa hanya memudahkan komunikasi sahaja dan jika pemimpin negara tidak mahir berbahasa Inggeris ia bukan masalah, mereka hanya perlu menggunakan khidmat penterjemah.

Negara asing yang berurusan dengan Malaysia juga perlu menyediakan penterjemah apabila mahu berurusan.

Negara-negara maju di dunia termasuk di Eropah seperti Perancis yang berjiran dengan British sekalipun tidak gemar bertutur dengan bahasa Inggeris, berbanding rakyat Malaysia yang terlalu mengagungkan bahasa orang kulit putih itu.

Kita boleh saja bertutur bahasa Inggeris di dalam urusan tidak formal, tetapi urusan formal perlulah menggunakan bahasa Melayu.

Di Malaysia sendiri syarikat-syarikat besar milik kerajaan atau mempunyai kaitan dengan kerajaan paling teruk soal memartabatkan bahasa Melayu. Mesyuarat semua dijalankan dalam bahasa Inggeris, walaupun tiada pun orang asing di dalam bilik mesyuarat.

Tengok sahaja apabila mengadakan sidang akhbar mereka tidak malu berbahasa Inggeris, sedangkan mereka berpijak di bumi Melayu dan berwajah Melayu totok.

Ini berpunca daripada para pemimpin negara sendiri yang terlalu taksub dengan bahasa asing itu, sehingga meletakkan mereka yang tidak menguasai bahasa Inggeris sebagai OKU.

Jadi selepas ini jangan malu untuk bersuara bahawa kita tidak selesa dan faham apabila seseorang berbahasa Inggeris kerana ini bumi Melayu.

Selepas ini diharapkan kita tidak perlu lagi mendengar bahasa Inggeris slanga budu, cencaluk, belacan, tempoyak, tauhu, rasem dan sebagainya yang menyakitkan telinga. Guna sahaja bahasa Melayu.

Tahniah Perdana Menteri di atas keberanian beliau memartabatkan bahasa Melayu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button