RATA-rata pemilik kedai makan dan pelanggan menyambut baik kebenaran untuk makan di kedai (dine-in) tetapi dengan syarat semua pihak perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menerusi tinjauan yang dilakukan Suara Merdeka, beberapa restoran dan kedai makan sudah mula membuka meja untuk orang ramai makan di kedai dan ada juga yang masih kekal dengan kaedah bungkus dan bawa pulang.
Seorang daripada pemilik kedai mamak, Liyakat Ali Mohd Zakaria, 65, berkata, dia masih belum membenarkan orang ramai untuk makan di kedai.
“Buat masa ini, memang ada pelanggan yang bertanya untuk makan di sini tetapi kita tidak benarkan sebab pengumuman kebenaran itu masih lagi baru.
“Buat masa ini kita nak tunggu dan lihat kedai lain dahulu barulah kita akan fikirkan untuk buka restoran kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemilik kedai makan, Hayati Mohamed Yusof, 56, berkata, dia menyambut baik keputusan untuk membenarkan ‘dine-in’ yang akan membantu meningkatkan pendapatan kedai.
“Memang kita berbesar hatilah tetapi apa yang penting SOP tetap kena jaga. Baik melibatkan peniaga mahupun pelanggan.
“Macam saya sendiri, kita dah buka meja untuk pelanggan tetapi hanya dua orang sahaja dibenarkan untuk duduk.
“Walapun syarat itu tidak ditetapkan, tetapi memang kita buat sebagai usaha untuk mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Saya harap peniaga lain pun akan berbuat perkara yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pekerja swasta yang ditemui ketika sedang menjamu selera di sebuah kedai mamak juga memberitahu yang dia amat menantikan kebenaran untuk makan di kedai.
“Saya memang nantikan kebenaran untuk makan di kedai sebab saya antara pekerja yang selalu bekerja di luar dan terpaksa makan di luar.
“Jadi bila ada kebenaran ini, memang mudah sikitlah untuk saya menjamu selera dalam keadaan yang selesa. Kalau tidak, memang terpaksa makan atas motosikal atau terpaksa singgah di taman,” katanya.
Tambahnya, dia juga berharap supaya kebenaran yang diberikan ini tidak disalahgunakan orang ramai termasuklah menjadikan kedai makan sebagai tempat untuk melepak dengan lama dan sebagainya. -SM