Kebebasan media ibarat ‘gali kubur PH sendiri’?
KEBEBASAN media yang diamal oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini ibarat `menggali kuburnya sendiri’ namun ia perlu untuk mengembalikan kebebasan dan demokrasi.
Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin menjelaskan, dalam erti kata lain PH melaksanakan perkara itu kerana keikhlasan dan bukan untuk mengaut keuntungan politik.
“Kita tidak buat semata-mata untuk mengekalkan kuasa kita. Kebebasan media, reformasi institusi, memerangi rasuah ini semua beyond (di luar) retorik.
“Kita tidak retorik sebab itu apabila pegawai kepada seorang Menteri bersungut kegiatan bosnya tidak disiarkan oleh RTM, dia `dibelasah’ sedangkan menteri berhak minta liputan RTM kerana RTM adalah milik kerajaan.
“Bahaya kebebasan media menjadi retorik tetap ada. Sebab itu kita mahu tubuhkan sebuah Majlis Media yang kuat dan diiktiraf kerana kecenderungan untuk menguasai atau mengawal media tetap ada, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.
“Adalah sama buruk media massa yang dikawal oleh parti politik dengan yang ahli perniagaan sekiranya mereka mempunyai agenda sendiri,” kata beliau kepada Suara Merdeka dalam sembang santai di sebuah restoran India di Damansara hari ini.
Menjelaskan fungsi Majlis Media lebih lanjut, A Kadir berkata, ia bertujuan mewujudkan etika media dan kewartawanan serta mekanisme penyelesaian aduan supaya tidak perlu atau setidak-tidaknya dapat dikurangkan kes-kes saman malu terhadap media.
“Dengan ini wartawan dan pemilik media berasa lebih selamat untuk menyiarkan berita dan membuat penyiasatan (investigative reporting)…nanti taklah sampai disaman RM1 juta atau RM2 juta macam pernah dialami NST dan Utusan pada zaman Najib,” kata beliau.
Mengenai perkembangan Majlis Media berkenaan, kata A Kadir lagi:
“Ya, Kabinet sudah persetujui cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia. Beberapa pihak dalam media massa seperti kesatuan wartawan, pemilik media, penyarah kewartawanan dan badan-badan bukan kerajaan yang prihatin terhadap kebebasan media telah mengemukakan cadangan dan draf undang-undang kepada kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Saya difahamkan satu persidangan melibatkan pihak kerajaan dan penggiat media dan kewartawanan akan diadakan bulan ini.”
-SUARA MERDEKA