Nasional

KDN tubuh Majlis Perundingan bantu perkasa dasar, penguatkuasaan keselamatan

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan Majlis Perundingan Mengenai Keselamatan dan Ketenteraman Awam (MPMKKA), yang berperanan memberi pandangan kepada kementerian, dalam merencanakan polisi serta perkara berkaitan penguatkuasaan keselamatan.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata nasihat dan idea dari pakar, serta golongan berpengalaman yang menganggotai majlis itu adalah penting, dalam usaha memantapkan pentadbiran kementerian, jabatan dan agensi keselamatan di bawahnya.

Penubuhan MPMKKA yang dijangka beroperasi tahun hadapan itu, diyakini mampu memperkasa pendekatan dan tindakan yang diambil KDN, dalam melaksanakan sesuatu dasar atau penguatkuasaan undang-undang, yang mempunyai kesan terhadap kepentingan rakyat dan negara.

Langkah itu juga dilihat sebagai antara strategi dan langkah KDN, dalam mendokong aspirasi menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara berdaulat, aman, makmur dan dihormati di persada dunia, sebagaimana digariskan dalam Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA).

“Yang penting langkah ini kita ambil, saya usulkan dan telah dipersetujui untuk dilaksanakan tahun depan.

“Saya sendiri akan bertindak selaku pengerusi MPMKKA, bagi memastikan platform ini berfungsi dan berperanan seperti yang dimahukan,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Muhyiddin berkata MPMKKA akan dianggotai 40 ahli daripada pelbagai latar belakang, membabitkan orang awam, pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan serta ahli akademik, dengan kepakaran tertentu.

Memainkan peranan sebagai ‘penghubung suara rakyat dan penasihat’, khususnya dari sudut penguatkuasaan agensi di bawah KDN, penubuhan MPMKKA adalah sejajar dengan iltizam kementerian, menjadikan perundingan sebagai antara pendekatan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Selain merapatkan hubungan antara KDN dan masyarakat, Muhyiddin berkata majlis itu juga berperanan mengumpul maklum balas orang ramai, berkenaan soal penguatkuasaan keselamatan yang mungkin perlu ditambah baik atau pendekatan yang digunakan, tidak sesuai sebagaimana digariskan di dalam DKKA.

Menurutnya pandangan yang dikemukakan MPMKKA akan dijadikan input, sewaktu menimbangkan sebarang langkah atau keputusan berkaitan pelaksanaan sesuatu dasar, seperti keperluan meminda sesuatu undang-undang atau pendekatan yang difikirkan tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Persetujuan untuk penubuhan MPMKKA juga dilihat sebagai manifestasi komitmen kerajaan, dalam meningkatkan lagi kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh, ke arah mewujudkan kementerian yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button