NasionalNegeri

Rumah tepi sawah jadi ‘makmal’ ubat batuk

SEBUAH rumah di tepi sawah di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, Perlis yang dijadikan “makmal” memproses ubat batuk sebagai ramuan “cakaroi” telah diberjaya dibongkar.

Rumah yang terletak 200 meter dari jalan utama ini dipercayai telah beroperasi sebagai “makmal” memproses ubat batuk sejak tiga hingga empat bulan yang lalu.

Ismail (tengah) menunjukkan gambar langkah sebuah “makmal” memproses ubat batuk di sebuah rumah tepi sawah di Sungai Padang, Simpang Empat, Perlis

“Makmal” berhawa dingin ini lengkap dengan peralatan dan juga bahan untuk memproses ubat batuk.

Berikutan itu sebanyak 8,100 botol ubat batuk dibotolkan, 1000 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam tong yang belum dibotolkan dengan nilai keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM271,500 telah dirampas.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, “makmal” ubat batuk ini telah diserbu oleh sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis dengan kerjasama pegawai dari Cawangan Siasatan Khas, JKDM Perlis pada pukul 2.30 petang pada 15 Januari lalu.

Beliau berkata, seorang lelaki Cina, 28 dan seorang lelaki Thailand, 54 yang bersembunyi di dapur rumah ketika serbuan juga telah ditahan.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat beberapa kotak yang mengandungi botol-botol disyaki ubat batuk dengan kuantiti 100ml setiap botol.

“Juga ditemui, mesin pemprosesan, bahan pembungkusan serta bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan ubat batuk,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Kuala Perlis di sini hari ini.

Setiap botol mengandungi 100ml ubat batuk siap untuk dipasarkan ditemui pada “makmal” di sebuah rumah di tepi sawah di Sungai Padang, Simpang Empat, Perlis

Ismail berkata, sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna putih yang berada di premis tersebut turut disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, barang kes yang disita dianggarkan bernilai sebanyak RM371,463.70 termasuk kenderaan.

“Modus operandi dipercayai dengan cara menjalankan pemprosesan ubat batuk di dalam premis kediaman di kawasan terpencil untuk menggaburi pihak agensi penguatkuasaan,” katanya.

Ismail berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 9(2) Akta Racun 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM50,000) atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Justeru JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Gula antara yang digunakan sebagai bahan untuk dijadikan sebagai ubat batuk.

Kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan agar kita bersama-sama dapat membanteras kegiatan penyeludupan. – SM

BACA Dua lelaki dalang sindiket proses, edar dan miliki makmal dadah ditahan

BACA Pakar kata jika Deltacron mungkin hasil pencemaran makmal

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button