Politik

Kartel daging: Patut tanya Mujahid, Fuziah, Latheefa hasil siasatan – Najib

Najib dakwa isu kartel daging haram tidak pernah timbul ketika dia menjadi PM

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa agar bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Timbalannya Fuziah Salleh menjawab hasil siasatan berhubung skandal kartel bekal daging haram.

Najib mendakwa walaupun media melaporkan bahawa skandal itu telah berlaku sejak 40 tahun lalu namun isu tersebut tidak pernah berbangkit sepanjang dia menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan sekiranya isu berkenaan timbul ketika dia menjadi perdana menteri sudah tentu dia akan mengarahkan kerajaan yang dipimpinnya membuat siasatan.

“Pada ingatan saya, isu kartel daging yang diragui halalnya tidak pernah timbul sepanjang tempoh saya PM dan kerajaan kami juga tidak pernah menerima apa-apa aduan rasmi berhubungnya.

“Saya juga telah check dengan menteri-menteri berkenaan pada masa itu dan mereka juga mengesahkan tiada aduan pernah diterima dan media juga tak pernah timbulkan isu ini sepanjang masa saya PM.

“Oleh sebab isunya amat berat, sudah tentu kerajaan BN dahulu akan mengambil tindakan jika kita menerima aduan rasmi atau matlumat,” kata Najib.

Sebaliknya menurut Najib, isu berkenaan pertama kali dilaporkan oleh Media Asia Sentinel pada bulan Oktober tahun lalu ketika Pakatan Harapan masih berkuasa.

Dalam hantaran di Facebooknya, Najib berkongsi beberapa link media yang melaporkan isu tersebut yang mendapat reaksi daripada Mujahid, Fuziah dan bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya.

Mujahid dilaporkan menolak dakwaan tersebut dalam laporan bertajuk ‘Could be imposters or rogue agents, Mujahid says of Jakim corruption claims’ yang disiarkan oleh Malay Mail pada 5 November 2019.

Pada 13 Oktober 2019, Fuziah turut dilaporkan menolak dakwaan tersebut dalam berita bertajuk ‘Jakim ‘halal’ officers corrupt? Show proof, says Fuziah’ yang disiarkan oleh Free Malaysia Today.

Manakala Latheefa pula berjanji untuk menyiasat dakwaan tersebut dalam laporan media yang disiarkan oleh The Malaysian Insight pada 5 November 2019.

“Selepas itu, isu ini tengelam sekali lagi sehingga minggu lepas dan Lateefah Koya juga tidak pernah beri apa-apa update berhubung isu ini sehingga dia letak jawatan 4 bulan kemudian apabila kerajaan PH tumbang.

“Bagaimanapun, menteri jaga agama PH kekanda (Mujahid) kata semalam, bahawa SPRM tidak pernah campur tangan atau siasat isu ini semasa dia Menteri.

“Sebab itu, kita patut tanya Latheefa Koya, Kekanda (Mujahid) dan Fuziah apa status siasatan berhubung kartel daging ini sepanjang tempoh 4 bulan mereka menyiasat,” kata Najib.

Bagaimanapun seorang pengikut Facebook Najib berkongsi link pada ruang komen bahawa isu tersebut pernah berlaku pada zaman beliau menjadi Perdana Menteri.

Pada 17 Julai 2017 akhbar Harian Metro membuat laporan bertajuk  ‘Daging babi bercampur daging kambing’

Akhbar tersebut melaporkan, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengesan cubaan menipu kandungan daging import selepas menyita empat kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah pada tarikh tersebut.

Pengarah MAQIS Johor/Melaka, Siti Nur Ahmad berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan pihaknya menyita bekalan daging bernilai kira-kira RM2 juta dengan anggaran 120 tan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button