Politik

Kartel daging: Hentikan kebobrokan ini – Anwar

ELEMEN rasuah berhubung pendedahan terhadap syarikat kartel yang didakwa mengimport daging bagi pasaran tempatan dengan logo halal palsu mesti dihentikan segera.

Kerajaan perlu bertindak berani dan tegas menangai masalah ini termasuklah menyiasat dan mendakwa pihak yang terlibat dalam pengedaran tidak bertanggungjawab ini.

Ini kerana, ia melibatkan sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia sekaligus mencemarkan kesucian agama dan mencalarkan imej Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Oleh demikian, kerajaan perlu bertindak kerana kartel tersebut didakwa turut melibatkan kakitangan agensi kerajaan.

“Saya juga mendesak kerajaan dan kementerian untuk segera menjalankan siasatan rapi, cekap, dan telus serta mengheret dalang ke muka pengadilan.”

Demikian gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan menghentikan ‘kebobrokan’ tersebut.

Tambah beliau, dakwaan mengatakan pegawai kerajaan turut terlibat dalam kartel tersebut sebagai ‘mudah dibeli’ menyebabkan amanah kepada rakyat dan negara terabai.

“Ini ternyata satu kegiatan yang tidak bermoral tatkala kita harus pertingkatkan segala usaha dan upaya kita dalam memerangi rasuah dan kebobrokan.

“Skandal ini ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi itu yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam.

“Meski dikurniakan peruntukan yang bukan kecil hampir setiap tahun, namun skandal ini telah merosakkan kepercayaan umum kepada institusi tersebut,” katanya lagi.

Ketika dalam sidang Parlimen baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan kes kartel import daging haram yang dikatakan berlaku di Senai, Johor baru-baru ini, sedang dalam siasatan.

Terdahulu, akhbar New Straits Times pada 21 dan 22 Disember melaporkan bahawa kartel itu dikatakan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.

Daging-daging yang dibawa masuk seperti daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging berstatus halal. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button