“Kami tak akan lompat parti tapi ajak Azmin sertai UMNO”
TUJUH Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) daripada UMNO yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin di Putrajaya baru-baru ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa mereka mengadu sudah ‘hilang’ parti.
Sebaliknya, mereka berkata, pertemuan itu diadakan bagi turut mengajak Mohamed Azmin menyertai UMNO kerana terbukti ketika ini rakyat lebih percayakan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka sekali lagi menegaskan pertemuan adalah untuk membincangkan isu pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.
Mereka ialah Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Salim Sharif (Jempol), Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Ramli Mohd. Nor (Cameron Highlands), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datin Mastura Mohd. Yazid (Kuala Kangsar).
“Merujuk kepada laporan berita berkaitan sidang media Tun Mahathir petang tadi, kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sama ada masuk parti lain atau sebaliknya,” kata kenyataan bersama tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, pertemuan diadakan demi kepentingan rakyat di kawasan Parlimen yang diwakili mereka.
“Seperti yang dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami tidak akan sesekali keluar UMNO apatah lagi lompat parti,” kata kenyataan itu.
Dr. Mahathir dalam sidang akhbarnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, isu ‘hilang’ parti itu dimaklumkan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR ketika ditanya mengenai pertemuan yang diadakan tersebut.