Kami dah jangka mural ini akan diconteng – Pelukis
PERBUATAN vandalisma yang dilakukan terhadap mural Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pemimpin-pemimpin lain sudah dijangka akan terjadi.
Pelukis mural gergasi tersebut iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27,; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27, turut meluahkan rasa terkilan terhadap apa yang terjadi.
Menurut Muhamad Firdaus, memang mereka sudah jangka yang mural itu akan diconteng pihak tidak bertanggungjawab apatah lagi lokasi lukisan itu yang terletak di kawasan terbuka.
“Sini kawasan lorong orang lalu lalang dan lokasinya pun jauh ke dalam.
“Kita memang mengharapkan masyaraka di sini dapat menjaga mural ini tetapi bila dah lewat malam, kawasan ini memang sunyi dan terdedah kepada unsur vandalisma,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelukis, Muhammad Suhaimi berkata, mereka sememangnya geram bila melihat ada orang yang sanggup menconteng mural tersebut.
Jelasnya, dia juga berharap supaya mereka yang terbabit dalam menconteng mural itu akan ditahan pihak berkuasa dengan segera.
“Apa yang berlaku ini tidak mematahkan semangat kami untuk melukis sebab minat kami memang kepada bidang ini.
“Perkara yang terjadi ini tidak akan memberi kesan kepada usaha kami untuk terus melukis,” jelasnya.
BACA> MBSA pasang CCTV pantau mural Agong, pemimpin negara diconteng – Ahmad Maslan
Kecoh di laman sosial pagi tadi selepas mural di dinding sebuah bangunan di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 yang memaparkan pemimpin-pemimpin utama negara diconteng dengan kata-kata keji dan disimbah cat merah.
Antara tindakan yang telah diambil oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ialah memadamkan terus mura tersebut.
Mural itu yang dilukis oleh tiga orang anak muda dan mendapat reaksi positif daripada orang ramai.
Malah, Agong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut hadir ke lokasi berkenaan untuk mengambil gambar kenang-kenangan. -SM