Jenayah

Kali ke-4 ibu bapa Syed Saddiq dipanggil SPRM

IBU dan bapa bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil buat kali ke-4 hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Ahli Parlimen Muar itu berkata, dia sekeluarga sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Menurut Syed Saddiq, ada pihak yang menuduh ibu bapanya tidak bekerja dan melemparkan pelbagai cerita yang tidak benar.

Ketua Armada yang terlucut keahlian itu berkata, beliau dapat merasai ibu bapanya terkesan dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka.

“Ada orang buat cerita yang Mama dan Abuyah tak bekerja dan menuduh Mama dan Abuyah bukan-bukan. Anak-anak didik Mama selama 38 tahun lepas boleh jadi saksi betapa berdedikasinya Mama bekerja sebagai seorang guru.

“Saddiq tahu walaupun Mama dan Abuyah tak tunjuk, tapi Mama dan Abuyah terkesan dengan tuduhan bukan-bukan ini. Jangan risau Mama. Jangan risau Abuyah. Kita sekeluarga di pihak yang benar. Tuhan bersama orang-orang yang benar,” kata Syed Saddiq.

Dalam catatan di Facebooknya, Syed Saddiq yang tidak dapat bersama menemani ibu bapanya hari ini, mendoakan kekuatan kepada mereka serta mendoakan kemudahan kepada pihak SPRM untuk siasatan.

“Walaupun Saddiq tak dapat bersama Mama dan Abuyah pagi ini kerana urusan kerja, Saddiq tahu yang Mama dan Abuyah kuat dan berani kerana benar,” kata Syed Saddiq.

Syed Saddiq sebelum ini membuat laporan polis berhubung kehilangan wang tunai kira-kira RM250,000 dari kediamannya di Petaling Jaya. Beliau menafikan wang berkenaan milik parti Bersatu.

Syed Saddiq mendakwa wang yang hilang tersebut miliknya  iaitu sebanyak RM90,000; RM50,000 milik ibunya dan RM70,000 milik bapanya.

Majoriti wang itu dikeluarkan bagi tujuan pengubahsuaian rumah yang dimiliki bersama dan juga untuk tujuan peribadi.

Berdasarkan laporan polis itu, SPRM membuat siasatan dan turut menahan dan menyiasat dua orang pemimpin Armada.

BACA SPRM nafi dakwaan pembantu Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah

BACA Pemimpin Armada ditahan: Jangan takut, berani kerana benar, kata Syed Saddiq

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali, berkata kedua-dua mereka pada awalnya dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung siasatan kes kehilangan wang di rumah Syed Saddiq.

“Kedua-duanya dipanggil untuk dirakam keterangan, kelmarin dan susulan daripada itu, pegawai kita kemudian ke kediaman mereka di dua lokasi berasingan di ibu negara.

“Menerusi pemeriksaan yang dijalankan, kita menemui wang tunai keseluruhannya berjumlah RM600,000 di dua kediaman berkenaan,” katanya.

Selain itu, Norazlan berkata, pihak SPRM turut merampas sebuah kereta dianggarkan bernilai RM100,000 milik seorang ahli parti berkenaan yang dipercayai dibeli menggunakan dana yang disalah gunakan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button