Politik

Pemimpin Armada ditahan: Jangan takut, berani kerana benar, kata Syed Saddiq

KETUA Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kepimpinan Armada tidak perlu takut jika mereka ditahan oleh pihak berkuasa atas prinsip berani kerana benar.

Dalam ciapannya hari ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan kepimpinan sayap Bersatu itu perlu teguh dengan prinsip.

“Saya dengar satu persatu rakan Armada yang bersuara dipanggil dan ditahan oleh mereka yang berkuasa.

“Jangan kita takut. Berani kerana benar. Prinsip kita kekal teguh walaupun diugut. Jika tidak salah, buat apa rasa takut?” kata Syed Saddiq yang turut berkongsi berita portal Malaysiakini bertajuk ‘Ahli Armada dicekup SPRM, dijangka ramai lagi ditahan- sumber.’

Beberapa portal berita hari ini melaporkan, seorang pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata, penangkapan itu adalah berhubung siasatan wang tunai RM250,000 yang dilaporkan hilang di rumah Syed Saddiq pada hujung Mac.

Memetik laporan Berita Harian, Ahmad Khusairi Yahaya yang menolak sekeras-keraskan tangkapan itu bermotifkan politik berkata, hasil siasatan SPRM mendapati berlaku penyelewengan dalam akaun ARMADA dan tangkapan dilakukan untuk siasatan selanjutnya.

Syed Saddiq sebelum ini mendakwa, wang yang dicuri dari rumahnya itu adalah milik peribadi iaitu RM90,000 adalah miliknya; RM50,000 (ibunya) dan RM70,000 (bapanya).-SM

Tags
Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button
Close
Close