BeritaPolitik

Kadir Jasin balas pantun Ahmad Maslan

SEORANG sahabat Punjabi Malaysia – yang kerap disalah panggil Bengali – menghantar salinan layar (screenshot) Twitter yang mengandungi pengenalan Ahmad b Maslan @ahmadmaslan.

Salinan layar atas nama Ahmad b Maslan @ahmadmaslan itu mengandungi gurindam berbunyi:

“Panglima berani pantang kalah

Badan sasa kehitaman

Saya ini tidak bersalah

Jadi mangsa kezaliman.”

Ia disertai pesanan: “Dengan rendah diri saya mohon rakan2 seluruh negara agar mendoakan saya & semua yang dizalimi agar dibantu dlm perjuagan yg penuh cabaran berdepan dengan penguasa rejim yg zalim ini.”

Kebetulan, hari ini seorang dengan nama yang sama – Datuk Seri Ahmad bin Maslan – yang berupa Ahli Parlimen Barisan Nasaional (BN) Pontian dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).

Turut dibawa ke mahkamah atas tuduhan yang sama adalah Tan Sri Shahril Abdul Samad, bekas Wakil Rakyat BN Johor Baru yang juga bekas Pengerusi Felda. Dia menghadapi satu tuduhan.

Sama ada tampalan Twitter itu benar-benar milik Ahmad Maslan atau tidak, saya tertarik dan ingin membalas gurindam empat rangkap itu:

“Panglima berani usah gelabah

Belum dibicara, belum salah

Kalau tuan tidak buat jenayah

Penguasa zalim tentu kalah.

“Dulu tuan sangatlah berani

Cakap besar satu negeri

Mangaku duit Najib yang bagi

Sebab tuan amat dipercayai.

“Tuan sombong bukan kepalang

Cakap besar macam hulubalang

Semua musuh tuan ganyang

Pertahan Najib malam dan siang.

“Tuan jawablah kepada mahkamah

Seandainya tuan tidak bersalah

Janganlah tuan berhati gundah

Segala tuduhan berjaya disanggah.

“Tapi kalau tuan buat jenayah

Duit rakyat tuan belasah

Silalah tuan cari helah

Andai tidak ke penjaralah arah.

“Jika takdir tuan masuk penjara

Jangan gundah, janganlah hiba

Kepakaran tuan amat berharga

Tuan masak, banduan semua gembira.

“Selamat tuan membela diri

Pandai bertabuh pandailah menari

Jangan salahkan kepada bumi

Kalau rentak tidak menjadi.”

Akhir kalam dan dengan izin: “Manungsa mung ngunduh wohing pakarti.”

Wallahuaklam.

Dipetik dari blog The Scribe A Kadir Jasin

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button