fbpx
Ekonomi

Pengeluaran buah, minyak sawit TH Plantations jatuh teruk

JUMLAH pengeluaran buat tandan segar (BTS) sawit Tabung Haji Plantations (TH Plantations) pada bulan lepas jatuh teruk iaitu hanya 64,201.93 tan sahaja berbanding bulan sama pada tahun 2018 iaitu 81,193.88.

Turut jatuh pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) TH Plantations iaitu 12,201 tan bulan Disember lalu berbanding 17,401.09 tan pada Disember 2018.

“Tidak dinyatakan faktor apa yang menyumbang kepada penurunan begitu besar ini.

“Sama ada ianya sebab kurang membaja, faktor cuaca ataupun akibat penjualan ladang-ladang mereka,” kata Najib yang berkongsi dapatan tersebut.

Sejak awal bulan ini, Najib aktif membuat hantaran di Facebook mempersoalkan tindakan kerajaan menjual ladang-ladang milik anak syarikat Lembaga Tabung Haji itu.

BACA ARTIKEL Empat bulan eksport sawit ke India jatuh, bukan boikot? tanya Najib

Menurut Najib, TH Plantations telah selesai menjual tiga ladang sawit pada bulan lepas.

Tiga ladang terbabit merupakan sebahagian daripada 14 ladang sawit milik Tabung Haji yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk dijual.

Dengan penjualan tersebut jumlah saiz keluasan ladang sawit milik TH Plantations akan berkurangan sebanyak 76.2%.

“Setelah penjualan 76.2% ini selesai, saiz ladang milik mereka akan jatuh dari 101,000 hektar ke 24,000 hektar dan TH Plantations akan menjadi syarikat yang jauh lebih kecil berbanding sekarang. Sementara itu, Menteri Haji masih membisu,” kata Najib.

Setakat ini, tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mahupun pengurusan THP atau Tabung Haji bagi memberi penjelasan mengenai beberapa isu mengenai penjualan tersebut.

Antaranya tindakan syarikat peladangan berkenaan menukar jurunilai dan menurunkan nilai buku anak-anak syarikatnya yang sedang dalam proses penjualan.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button