AgamaNasional

Kadar hotel ke Tanah Suci naik melambung

SEPATUTNYA ada kawalan apabila kadar hotel ke Tanah Suci Mekah naik melambung dan sekaligus, pakej untuk mengerjakan umrah juga naik di saat akhir.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menjelaskan, harga pakej umrah dinaikkan pada saat akhir berpunca daripada kenaikan mendadak kadar hotel di Mekah dan Madinah.

Naib Presiden Haji dan Umrah Matta, Azri Abd Razak berkata, keadaan itu menyebabkan harga pakej yang ditetapkan terpaksa dinaikkan pada saat akhir oleh agensi pelancongan sebelum jemaah umrah berlepas ke tanah suci.

“Kenaikan harga ini dipercayai berpunca daripada permintaan tinggi di hotel terutamanya di Kota Madinah berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah di seluruh dunia apabila kerajaan di negara masing-masing membuka sempadan selepas situasi pandemik Covid-19 beransur pulih.

“Bukan harga hotel sahaja yang meningkat malah harga pengangkutan dan tiket penerbangan juga semakin membebankan khususnya ketika musim kemuncak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau tampil menjelaskan situasi berkenaan susulan kecelaruan dan ketidaktentuan ketika ini apabila jemaah umrah mendesak menurunkan kadar pakej umrah dengan mengekalkan harga ditawarkan agensi pelancongan masing-masing.

Jelasnya, agensi pelancongan juga berdepan kesukaran mendapatkan pengesahan tempahan walaupun sudah menjelaskan bayaran penuh kepada pihak hotel.

“Kenaikan harga mendadak oleh pihak hotel juga membuatkan agensi pelancongan tersepit dan tiada pilihan selain menaikkan harga pakej terhadap jemaah umrah,” katanya.

Dengan keadaan dan kecelaruan yang berlaku sekarang, Matta meminta agar semua jemaah umrah bersabar dan memahami situasi ketidaktentuan yang berlaku di Madinah dan Mekah.

Katanya lagi, Matta juga menerima aduan mengenai kesulitan membawa pulang air Zam-Zam oleh jemaah umrah terutamanya di lapangan terbang Jeddah dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Saudi Tourism Authority (STA).

“Matta berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk berbincang dan menangani isu ini agar pihak jemaah tidak menyalahkan agensi pelancongan sepenuhnya terhadap keadaan yang berlaku di Madinah dan Mekah dari aspek kenaikan harga hotel, pengangkutan dan tiket penerbangan,” katanya. – SM

Artikel berkaitan > Gunung ganang di Mekah bertukar hijau

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button