Politik

Kabinet akan tentukan kelulusan penggunaan Vellfire untuk menteri

ISU mengenai pembelian Toyota Vellfire untuk kegunaan para menteri akhirnya terjawab hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata,  Jemaah Menteri akan datang bakal menentukan kelulusan kontrak untuk kenderaan rasmi kerajaan melibatkan 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 unit Honda Accord untuk kegunaan menteri dan pegawai tinggi kerajaan.

Guan Eng menegaskan, walaupun pemberian kontrak itu di bawah bidang kuasa kementeriannya tetapi ia perlu diputuskan oleh Kabinet.

“Tunggu Kabinet. Ya, (di bawah Kementerian Kewangan) tetapi kita berpandu pada mesyuarat Kabinet,” katanya kepada wartawan selepas melawat Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang, pagi tadi.

Sebelum ini portal berita Malay Mail melaporan kontrak kenderaan yang bakal ditawarkan kerajaan yang memerlukan 32 unit Toyota Vellfire untuk menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi.

Laporan itu turut mendedahkan kerajaan juga memerlukan lebih kurang 3,000 Honda Accord untuk pegawai-pegawai kerajaan. Vellfire dan Accord tersebut dikatakan akan digantikan setiap empat tahun.

Kerajaan juga bercadang untuk menggantikan 1,300 unit kenderaan penguatkuasaan (Mobile Patrol Vehicles) dalam tempoh lima tahun dan juga 8,000 unit Proton Persona dan Saga untuk kegunaan jabatan-jabatan.

Kontrak kenderaan itu dibuka untuk semua selepas kontrak 25 tahun oleh Spanco tamat hujung tahun 2019.

Kontrak baharu akan berjalan selama hanya 15 tahun dan akan membabitkan 12,500 unit kenderaan dengan jumlah RM300 juta setahun, bermula selepas tahun kelima.

Syarikat-syarikat yang akan membida untuk kontrak tersebut ialah Spanco, Kumpulan Naza, Berjaya, Sime Darby, DRB-Hicom, Kumpulan Samling, Comos dan Go Auto yang menjadi wakil pengedar jenama Haval.-SM

 

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button