Juri tengok invois rantai berlian USD23 juta untuk Rosmah
JURI dalam perbicaraan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng akhirnya melihat bukti kukuh barangan yang dibeli dengan wang yang didakwa diseleweng dalam skandal rasuah berbilion dolar 1MDB.
Namun, para juri tidak dapat melihat rantai sebenar bernilai USD23 juta itu yang dilengkapi berlian merah jambu cukup besar untuk menjadi pemberat kertas, direka oleh Lorraine Schwartz di New York untuk Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Malah mereka tidak ditunjukkan gambar rantai itu, hanya invois.
Pada perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat (AS), pendakwa menggulung kes dan menunjukkan kepada juri bagaimana berbilion dolar yang dialihkan daripada tiga transaksi bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low digunakan untuk membeli barangan mewah.
Jho Low juga dituduh menyalurkan dana 1MDB kepada rakannya, anak tiri Najib, Riza Aziz, untuk membantu menghasilkan “The Wolf of Wall Street”.
Juri ditunjukkan gambar DVD filem itu dan tangkap layar daripada kredit filem yang mengucapkan terima kasih kepada Low atas sokongannya.
Syarikat produksi Red Granite milik Aziz bersetuju pada 2018 untuk membayar USD60 juta bagi menyelesaikan dakwaan oleh Jabatan Kehakiman AS bahawa ia membiayai filem terbabit dan lain-lain dengan wang yang digelapkan daripada 1MDB.
Menurut pendakwa, entiti yang dikawal oleh Jho Low juga menggunakan wang 1MDB untuk membeli lima karya seni daripada rumah lelongan Christie dengan harga USD58.3 juta termasuk USD51.8 juta bagi karya Jean-Michel Basquiat bertajuk “Dustheads”.
Schwartz yang antara pelanggannya terdiri daripada selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively, mungkin menjadi saksi dalam kes itu. Sebaliknya, beliau memberi kenyataan yang dimasukkan pendakwa dalam rekod rasmi mahkamah.
Jho Low menghubungi Schwartz pada Jun 2013, memintanya mereka bentuk rantai berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati di tengahnya untuk Rosmah.
Namun apabila Rosmah meminta berlian 18 karat, “Schwartz berkata, beliau hanya ada berlian merah jambu 22 karat” dan perjanjian USD23 juta dicapai untuk permata yang lebih besar itu.
Schwartz kemudiannya menghantar sendiri rantai itu kepada Rosmah ketika beliau menetap di atas kapal layar dengan Low di luar pantai Monaco, menurut rekod.
Rosmah kemudian membeli tambahan barang kemas bernilai USD1.3 bilion daripada Schwartz pada 2014.
Ng, satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal itu, dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner, membantu Low menyeleweng berbilion-bilion dolar daripada trio urus niaga bon oleh bank tersebut untuk 1MDB.
Jho Low juga didakwa bersama Ng secara in absentia manakala Leissner sebelum ini mengaku bersalah, bekerjasama dengan AS dan memberi keterangan terhadap Ng pada perbicaraan. – SM