Nasional

Jumpa tengkorak, rangka dipercayai milik warga emas dilaporkan hilang

TENGKORAK dan rangka dipercayai milik seorang lelaki warga emas berusia 87 tahun yang dilaporkan hilang ditemui di kawasan semak bersebelahan sebuah hotel di Tengkera pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, seorang pekerja kedai tayar berhampiran lokasi kejadian menemui tengkorak dan rangka manusia kira-kira pukul 6 petang sebelum memaklumkan kepada polis.

Menurutnya, sepasukan anggota bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah dan pasukan Siasatan Khas D9 ke lokasi kejadian.

Tambahnya, siasatan awal di tempat kejadian menemukan MyKad dalam poket seluar mangsa dan semakan mendapati mangsa merupakan warga emas yang pernah dilaporkan hilang oleh anak buahnya pada 31 Januari lalu.

“Tengkorak dan rangka manusia yang ditemui dipercayai milik mangsa yang hilang itu.

“Mangsa dikatakan tinggal seorang diri di alamat seperti yang tertera pada kad pengenalan serta mempunyai masalah pelupa kerana tua.

“Disyaki sebelum kejadian mangsa berjalan kaki dari rumahnya di Taman Kota Laksamana Seksyen 2, tidak berapa jauh dari tempat kejadian.

“Kemungkinan mangsa telah jatuh di kawasan semak samun tersebut dan meninggal dunia,” katanya.

Christopher berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut memandangkan sisasatan awal tidak menemui sebarang petunjuk kepada unsur jenayah.

Tambahnya, tengkorak dan rangka yang ditemui akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk siasatan lanjut,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button