Nasional

Jumlah jemaah ditentukan jawatankuasa masjid, surau

PERLUASAN kapasiti jemaah bagi masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan ditentukan oleh jawatankuasa masjid, surau jumaat serta surau terbabit.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata perluasan kapasiti jemaah bagaimanapun tertakluk kepada satu pertiga had kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau terpilih serta melibatkan jemaah dalam kalangan warga Malaysia.

“Ketetapan ini juga tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“JAWI juga ingin mengingatkan agar segala garis panduan dan SOP (prosedur operasi standard) berkaitan hendaklah dipatuhi sepanjang tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap umat Islam dapat memanfaatkan peluang itu dengan meningkatkan amalan ibadat dan berdoa agar penularan COVID-19 dalam negara segera berakhir.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan bahawa semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam zon hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka secara berperingkat bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan satu pertiga daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama bermula esok.

Katanya perkara itu telah dipersembah dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button