Ekonomi

Penjual baharu Shopee 11.11 catat pesanan 10 kali ganda

Shopee berjaya mencipta impak besar di 11.11 Jualan Hebat, menepati visinya untuk menjadikan e-dagang untuk semua. Dikuasai oleh sokongan padu daripada pengguna dan perniagaan di setiap daripada tujuh pasarannya, Shopee menyaksikan momentum jualan kukuh sepanjang hari, seterusnya mempertingkatkan perniagaan di rantau ini di samping membawa keseronokan kepada pengguna.

Di rantau ini, para penjual yang mengambil bahagian dalam 11.11 Jualan Hebat buat kali pertama menyaksikan peningkatan pesanan sebanyak 10 kali ganda berbanding hari biasa, dengan Shopee membuka peluang baharu untuk usahawan dan PKS.

Para pengguna berkumpul di Shopee sepanjang tempoh 11.11 Jualan Hebat diadakan untuk membeli-belah, bermain, dan menjalin interaksi yang bermakna. Lebih daripada 20 juta jam penstriman langsung ditonton di Shopee Live, manakala permainan dalam aplikasi Shopee dimainkan lebih daripada 2.5 bilion kali.

Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee berkata, “Kami berasa amat bersyukur dengan sokongan padu yang ditunjukkan semasa 11.11 Jualan Hebat; kejayaannya mencerminkan pertumbuhan e-dagang yang berterusan di rantau ini dan peluang luas yang ditawarkan kepada perniagaan dan pembeli. Acara membeli-belah seperti 11.11 Jualan Hebat juga membolehkan kami mencabar batas inovasi, memperkenalkan ciri dan inisiatif baharu untuk memperkasakan dan menjadi pemboleh kepada jenama, peruncit dan penjual ketika mereka merancakkan usaha ke arah pemulihan dalam keadaan ekonomi semasa.”

Related Articles

Sorotan Shopee 11.11 Jualan Hebat di Malaysia

Di Malaysia, aktiviti membeli-belah melonjak semasa 11.11 Jualan Hebat dengan orang ramai beralih ke Shopee untuk mendapatkan tawaran terbaik daripada jenama dan penjual kegemaran mereka, sambil menikmati pengalaman membeli-belah yang mudah melalui ekosistem Shopee.

Kelengkapan Rumah dan Kediaman, Produk Elektronik serta Barangan Runcit dan Barangan Haiwan Peliharaan merupakan kategori produk yang paling popular. 

Trend-trend utama merangkumi:

Memperkasakan MSME tempatan: Lonjakan aktiviti membeli-belah pada 11 November mewujudkan pertumbuhan ketara bagi perniagaan tempatan. 3,000 MSME Malaysia terbaik di Shopee mencatat purata jualan sebanyak RM55,000 semasa 11.11 Jualan Hebat semalam.

Permintaan yang tinggi di bandar-bandar utama: Seperti yang dijangka, negeri-negeri utama seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor mencatat aktiviti membeli-belah yang tinggi dengan 650,000 barangan dijual dalam masa satu jam di Selangor pada kemuncak 11 November.

Tahap keyakinan dan kepercayaan terhadap membeli-belah atas talian meningkat: Jumlah transaksi terbesar oleh seorang pengguna di platform dalam masa 8 jam pertama semasa acara membeli-belah atas talian ini berjumlah RM70,000. 

Rakyat Malaysia beralih ke Shopee untuk keperluan isi rumah dalam usaha untuk terus kekal di rumah: MILO, bahan pencuci, cecair pembasmi kuman, disinfektan, pembersih vakum robot pintar, penggoreng udara, set peralatan memasak dan juga makanan untuk haiwan peliharaan terus menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Ini juga termasuk jualan lebih daripada 560,000 snek, yang mana 1 daripada 5 ialah paket mi Samyang Hot Chicken. Produk pembaikan rumah seperti alatan dan fitting, kelengkapan lantai, splashback dan panel dinding juga mencatatkan permintaan tinggi dengan hampir 1 juta barangan terjual.

Permintaan bagi produk elektronik meningkat: Rakyat Malaysia memanfaatkan sepenuhnya tawaran eksklusif Shopee untuk mendapatkan gajet baharu. Xiaomi menyaksikan produk paling popular mereka iaitu Redmi Note 8, Mi True Wireless Earbuds dan Mi Band 4C menerima sambutan hangat. Sementara itu, HUAWEI merekodkan jumlah jualan sebanyak kira-kira RM1 juta hanya untuk Matebook D 15 dalam masa 10 minit pertama jualan ini di Shopee.

Ho merumuskan, “Melihat trend pengguna dan prestasi perniagaan-perniagaan tempatan, tidak dapat dinafikan bahawa e-dagang mempunyai potensi untuk memberi impak positif kepada komuniti-komuniti kami. Kami akan terus mengorak langkah ke hadapan berpandukan visi kami agar mereka dapat memperoleh manfaat daripada e-dagang tidak kira siapa mereka dan di mana mereka berada. Kami berharap untuk mengakhiri tahun ini dengan penuh bermakna melalui acara penutup kami yang kian menjelang, iaitu 12.12 Birthday Sale.”

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button