Nasional

JPJ ketatkan pemeriksaan, kelulusan kenderaan drag

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus mengetatkan pemeriksaan dan syarat kelulusan kenderaan untuk perlumbaan drag terutama dari aspek mekanikal dan spesifikasi bagi memastikan keselamatan pemandunya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya tidak pernah melonggarkan syarat permohonan sukan permotoran tersebut atau memandang ringan soal keselamatan yang perlu ada pada kenderaan tersebut sebelum diluluskan oleh JPJ.

“Setiap masa JPJ perketatkan aspek pemanduan kenderaan drag dan tidak pernah kita longgar syarat kelulusan kerana kita memang tidak melihat benda itu sebagai satu benda yang ringan kerana pemanduan itu sendiri sudah berbahaya.

“Spesifikasi, enjin dan kerangka dalaman kenderaan ini yang diubah suai sebenarnya perlu mendapat kelulusan JPJ jika tidak kenderaan terbabit dilarang sama sekali untuk menyertai perlumbaan drag.

“Setiap kenderaan yang ingin menyertai perlumbaan drag penganjur perlu menghantar permohonan kepada JPJ bagi kita melihat dari aspek teknikal, tayar dan brek yang perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Akademi JPJ Malaysia di Tiang Dua, Ayer Molek, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Aedy Fadly Ramli dan Pengarah Akademi JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan.

Beliau diminta mengulas mengenai kejadian seorang pelumba drag, Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin yang maut selepas menyertai perlumbaan drag BOTK 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, pada Sabtu.

Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta lumba yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas.

Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut Zailani berkata, JPJ masih menunggu laporan penuh daripada pihak polis untuk mengetahui punca kemalangan tersebut disebabkan faktor kecuaian manusia atau masalah mekanikal di kenderaan tersebut.

Dalam pada itu beliau berkata, JPJ akan melatih seramai 1,000 pemandu ambulan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan tiada lagi kemalangan membabitkan kenderaan itu sewaktu membawa mangsa ke hospital.

Menurutnya, latihan itu akan dilaksanakan mulai tahun depan selepas tergendala berikutan pandemik Covid-19 melanda negara sebelum ini.

“Kemalangan membabitkan ambulan sebenarnya boleh dielak kerana kita menyediakan modul yang lengkap untuk pemanduan kenderaan itu sekali gus dapat mengurangkan kemalangan yang berlaku,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button