Johor lulus pindaan calon 18 tanding pilihan raya
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
FMT melaporkan, cadangan pindaan had umur terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang dikemukakan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan disokong ADUN Semarang Samsolbari Jamali, diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga.
“Bahawa dengan ini diperundang-undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut: Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021.
“Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta,” kata Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismail.
Pindaan rang undang-undang itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Ketika membentangkan usul pindaan tersebut Hasni berkata, ia merupakan satu daripada pelbagai inisiatif berterusan kerajaan negeri melibatkan langkah pemberdayaan orang muda Johor.
“Diharapkan agar pindaan yang dilakukan ini dapat memberikan kemeriahan dan keterujaan dalam pentas demokrasi negara dan negeri Johor khususnya.
“Semoga pentas demokrasi kita tidak dipenuhi dengan permainan persepsi semata-mata, tetapi disemarakkan dengan budaya perdebatan idea yang matang lagi membina untuk kebaikan semua pihak,” kata Hasni, yang merupakan ADUN Benut.
Speaker DUN Johor kemudiannya memaklumkan persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan.
Dengan perkembangan terkini, Johor menjadi negeri terbaharu mengikut jejak beberapa negeri termasuk Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai ADUN pada pilihan raya umum akan datang. – SM