Nasional

Jiran bergaduh: Dua-dua buat laporan polis, dua-dua kena tangkap

POLIS menahan tiga individu kerana terlibat dalam satu pergaduhan yang tular di laman sosial pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, punca pergaduhan berlaku kira-kira pukul 4.15 petang semalam di lampu isyarat Taman Permata, Hulu Kelang.

“Seorang lelaki berusia 49 tahun telah menarik keluar seorang pemandu teksi kerana memberhentikan kereta secara mengejut dan menegur perbuatannya itu sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka.

“Lelaki tersebut kemudian telah pulang ke rumah untuk mengambil sebatang besi (absober kereta) dan memecahkan cermin depan dan belakang teksi berkenaan serta cermin pemandu kereta jenis Proton Satria milik adik pemandu teksi itu di kawasan Pasaraya Hari-Hari, Taman Permata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, pemandu teksi bersama adiknya yang berusia 25 dan 26 tahun itu kemudian telah pergi ke rumah penunggang motosikal itu sebelum bertindak memukul dan mengugutnya.

Ujarnya, kedua-dua pihak kemudian telah membuat laporan polis sebelum ditangkap untuk disiasat.

“Tangkapan telah dibuat terhadap pemandu teksi dan adiknya atas kesalahan ugutan dan mencederakan manakala penunggang motosikal ditangkap atas kesalahan khianat iaitu memecahkan cermin kereta.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua yang terlibat ini tinggal di kawasan perumahan yang sama dan mempunyai masalah kejiranan sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bertimbang rasa dan berhati-hati di jalan raya supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati melibatkan orang lain. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button