SEBANYAK RM10 juta berjaya dijimatkan menerusi 1, 617 kali Jualan Agro Madani (JAM) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara sehingga semalam.
Ia melibatkan nilai jualan sebanyak RM33.5 juta dengan melibatkan 20, 700 usahawan yang telah memberi manfaat kepada 852, 000 rakyat Malaysia.
Sekaligus ini membuktikan JAM adalah pilihan tepat untuk rakyat berbelanja bagi mendapatkan barang keperluan dapur.
Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Dr Mohamad Sofee Razak berkata, rakyat dapat berjimat kerana JAM telah menawarkan barangan keperluan dari 10 hingga 30 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
“Antaranya ia melibatkan barangan seperti beras tempatan, ayam, daging tempatan dan juga Kombo Madani,” katanya pada sidang media selepas Program JAM sempena Program Sentuhan Kasih Ramadan FAMA di Masjid Nurul Iman, Jalan Kurong Batang, Bintong, Kangar, petang semalam.
Hadir sama Pengarah FAMA, Mohd Anzara Azizan, Pengarah Bahagian Pembangunan Kontrak Pemasaran FAMA, Azhar Jamaluddin dan Ustaz Ahmad Sirajuddin bin Abdul Satar.
Mohamad Sofee berkata, FAMA Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga menganjurkan JAM di 11 buah masjid di negeri ini.
Beliau berkata, ini akan memudah penduduk kampung yang tinggal berdekatan dengan masjid boleh membeli barangan keperluan di JAM.
Katanya, FAMA Perlis juga melaksanakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi golongan yang memerlukan menerusi Program Sentuhan Kasih Ramadan.
“Sebanyak 40 orang asnaf dari lima buah kampung di bawah kariah Masjid Nurul Iman telah menerima sumbangan Kit Sentuhan Kasih Ramadan FAMA 1445H,” katanya.
Tambahnya, sempena program ini FAMA kuga mengedarkan kain pelikat dan kain batik kepada seluruh jemaah Masjid Nurul Iman, Kurong Batang, Kangar hasil sumbangan dari para usahawan-usahawan dan kakitangan FAMA sendiri.
Katanya, juga diadakan pengedaran bubur lambuk percuma untuk pengunjung JAM. – SM