ADENGAN kejar-mengejar hampir 10 kilometer pada Operasi Kutip, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kangar, Perlis akhirnya membuahkan hasil.
Lima anggota Bahagian Penguatkuasa JIM Perlis terpaksa mengejar sebuah van yang memecut ke arah Changlun, Kedah sebaik sahaja didekati pada operasi ini pada pukul 1.30 pagi ini di kawasan Padang Besar.
Dalam operasi ini, pasukan penguatkuasa tersebut telah terserempak dengan van berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Bagaimanapun kata Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Talib kejadian kejar-mengejar terhenti setelah van berkenaan memasuki jalan mati.
“Pemandu dan seorang penumpang hadapan bertindak melarikan diri dan meninggalkan van tersebut setelah tidak dapat meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khairul Amin berkata, hasil pemeriksaan ke atas van berkenaan, terdapat sembilan lelaki, seorang perempuan dan seorang kanak-kanak yang dipercayai kesemuanya warganegara asing.
“Kesemua penumpang kenderaan van tersebut dipercayai warganegara Myanmar yang berumur antara 10 tahun hingga 49 tahun,” katanya.
Katanya, kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki dan berada di negara ini.
“Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan kesemua mereka dibawa ke pejabat Imigresen Kangar, Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya.
JIM Perlis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkaitan pelanggaran undang-undang negara membabitkan kesalahan berkaitan Imigresen dan komited untuk terus membendung sebarang perilaku jenayah yang mencabar kedaulatan dan keselamatan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan PATI dan sebarang jenayah berkaitan supaya melaporkan segera kepada mana-mana pejabat Imigresen yang terdekat. – SM