Jika kita benam apa yang mahu disampaikan, seni akan menjauh, tegas Drama Band
KUMPULAN Drama Band yang mencetuskan kontroversi dalam persembahan di Anugerah Juara Lagi (AJL34) menerima segala maklum balas dari peminat dengan hati yang terbuka.
Menurut kumpulan itu, seni adalah tempat di mana artis bebas meluahkan segalanya. Drama Band berkata, jika segala yang ingin disampaikan itu dibenamkan maka seni akan menjauh.
“Terima kasih tidak terhingga buat semua yang terhibur dengan persembahan kami. Kami #dramabopis berasa amat bersyukur dengan segala feedback yang diterima. Kami terima segalanya dnegan hati terbuka.
“Seni adalah tempat untuk artis meluahkan segalanya dengan bebas. Jika kita benam apa yang mahu kita sampaikan, seni akan menjauh perlahan-lahan,” kata Drama Band di Facebook mereka.
BACA JUGA: AJL34: Karakter mirip Najib, Rosmah, FB Drama Band jadi sasaran kemarahan
Menurut mereka, seni persembahan merupakan karya seni yang memerlukan kreativiti, seni, kecekalan dan kemantapan dalam berkarya.
Seni persembahan ada waktunya banyak mengetuk pintu yang dalam lubuk sanubari lalu mengajak seseorang merenung dan berfikir lebih jauh dari apa yang mereka sedang alami.
Kumpulan itu menjadi sasaran netizen di media sosial apabila dalam persembahan mereka terdapat beberapa karakter yang dianggap disasarkan kepada personaliti tertentu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
BACA JUGA: Apa itu SL1M: Najib kongsi foto Drama Band
Dua watak badut seorang individu lelaki berpakaian korporat dan seorang lagi wanita yang berbaju kurung sambil membawa beberapa beg tangan berjalan di karpet merah. Kedua-dua watak itu dipercayai menyerupai Najib dan Rosmah.
Sambil berjalan, kedengaran suara latar wanita bercakap: “Can I advise you something.” Dialog tersebut serupa dengan percakapan Rosmah dalam rakaman audio yang didedahkan SPRM.
Persembahan Drama Band pada awalnya menarik perhatian ramai dengan pembukaan persembahan vokalis Aepul yang agak menyeramkan, tampil dengan imej seperti karakter Ryuk dalam anime Jepun iaitu Death Note.
Persembahan tersebut kemudiannya mencetuskan kontroversi dengan kemunculan beberapa karakter lain yang dikaitakan dengan beberapa selebriti, pendakwah bebas serta ahli politik yang pernah berdepan kontroversi.
Antaranya ialah isu bekas juara Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee, penyanyi, Haqiem Rusli yang sebelum ini mengatakan dirinya menghidapi depresi, isu rumah tangga dua pendakwah bebas dan juga kes melibatkan ahli politik.
BACA JUGA: Kepada yang tersinggung ampunkan kami, kata vokalis Drama Band
Hantaran kumpulan itu di Facebook mereka sebelum persembahan di AJL berlangsung mendapat lebih 25,000 komen dengan rata-rata warganet tidak senang dengan unsur politik dalam persembahan Drama Band.-SM