Jeruk bunga Nangla rangup dikunyah, bau tak semasam jeruk daun Maman
SEBUT bunga Nangla, bagi mereka yang mengenali bunga ini tahu ia bukan sahaja cantik tetapi boleh dimakan dengan cara dijerukkan.
Pokok bunga Nangla jenis besar hanya mengeluarkan bunga setahun sekali yang mana dalam kalangan orang Utara kata, di musim Timur pada sekitar Disember hingga April.
Bagaimanapun SUARA MERDEKA baru-baru ini dihubungi oleh seorang rakan, Mahsuri Mahmood yang memaklumkan tentang jeruk bunga Nangla.
Mahsuri siap menghantar gambar jeruk bunga Nangla menerusi aplikasi Whatsapp dan berjanji untuk mempertemukan SUARA MERDEKA dengan orang yang menghasilkan jeruk bunga Nangla.
Sebenarnya penulis sendiripun sudah lama tidak mendengar nama bunga Nangla ini yang sering disebut oleh arwah ayah suatu ketika dahulu.
Tidak sangka pula yang membuat jeruk bunga Nangla ini adalah seorang lelaki warga emas. Namanya Roslin Ludin, 73, pesara penjawat awam yang tinggal di Kampung Wang Besar, Bintong, Perlis.
“Saya membuatnya agak banyak kali ini supaya dapat diagih-agihkan kepada jiran dan sahabat handai,” kata Roslim memulakan bicara.
Beliau berkata, sebenarnya pokok bunga Nangla pun sudah hampir pupus di kampung Wang Besar ini.
“Kalau tak silap saya setakat ini hanya ada dua rumah sahaja yang masih ada pokok bunga Nangla ini,” katanya.
Roslin berkata, kebetulan pula pokok bunga Nangla di kawasan rumah saudaranya baharu mengeluarkan bunga di luar musim.
Mempunyai kemahiran memasak, beliau cuba membuat jeruk bunga Nangla berpandukan resipi arwah ibunya.
“Sebenarnya nak buat jeruk bunga Nangla ini, kena buang dahulu tangkainya yang berbuah sebab ia pahit dan akan merosakkan rasa jeruk,” jelasnya.
Katanya lagi, selepas dibuang tangkainya, kesemua bunga ini akan direndam semalaman dalam air biasa.
“Pada malam keduanya pula bunga Nangla ini akan direndam lagi dalam air yang dicampur dengan garam dan kapur. Cuma pada malam ketiga baharu diletakkan dengan nasi,” katanya.
Roslin berkata, jeruk bunga Nangla ini perlu diletakkan dengan hirisan cili padi dan bawang besar sebelum dimakan.
Pengalaman penulis sendiri, jeruk bunga Nangla ini juga tidak sekuat bau masamnya seperti jeruk daun Maman serta mempunyai rasa rangup ketika dikunyah. – SM