Jentera Warisan kena berhemah, tawan hati pengundi atas pagar
JENTERA Warisan kena berhemah sepanjang berkempen dan tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.
Itu pesanan untuk jentera parti Warisan yang berkempen di pilihan raya kecil parlimen Kimanis.
Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Jaujan Sambakong berkata, jentera kempen Warisan memainkan peranan penting dalam menawan hati penduduk.
Katanya, ia terutamanya pengundi atas pagar bagi memastikan golongan itu memilih calon Warisan pada hari pengundian 18 Jan ini.
Jaujan yang juga Pengarah Jentera Warisan bagi PRK Kimanis mereka perlu menjelaskan aspirasi yang ingin dibawa oleh calon Warisan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan Parlimen Kimanis pada pilihan raya kecil berkenaan.
“Tidak dinafikan masih terdapat pengundi atas pagar, sebab itu saya ingin mengingatkan jentera kempen Warisan supaya sentiasa berhemah selain menawarkan kebaikan yang ingin dibawa sekiranya (Warisan) menang pilihan raya kecil ini,” katanya selepas melancarkan Program Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Bersama Komuniti bertemakan ‘Komuniti Ku Sayang’ dan PBT Hijau di Pekan Bongawan, hari ini.
Mengulas mengenai jentera Warisan setakat ini, Jaujan berkata gerak kerja jentera parti itu berjalan lancar, selain kempen mereka turut mendapat sokongan daripada rakan sekutu Warisan di Sabah melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan, Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang, 67, dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis .
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan. – BERNAMA