Jejak jejak kenangan bersama Sanusi Junid
Setiap kali Aidilfitri kunjung tiba, saya akan terkenangkan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid. Ini adalah kerana selama mengenalinya, Allahyarham tidak pernah lupa untuk mengirim kad ucapan Selamat Hari raya kepada saya walaupun dalam dunia IT, kerana menurutnya ada perkara-perkara yang nampak ‘ketinggalan’ tetapi lebih luhur kerana ia datang dari hati. Allahyarham akan memastikan bahawa saya hadir di rumah terbuka hari rayanya dengan menelefon saya beberapa kali untuk mengingatkan saya.
Saya mempunyai segunung pengalaman bersama Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid. Malahan banyak yang kami kongsi bersama akan saya semadikan di dalam hati sehingga akhirnya. Sanusi merupakan pemimpin politik yang amat menghargai ide-ide dan pandangan saya dalam politik. Pernah di suatu pagi saya memberitahunya bahawa saya sedang bersedia untuk mengadakan satu sidang media dan Allahyarham begitu teruja dengan ide di belakang sidang media tersebut lalu terus menghubungi Tun Dr Mahathir. Kata pepatah Inggeris ‘the rest is history’.
Sanusi pernah menjemput saya hadir bersama dalam mesyuarat kerjasama Malaysia dan Indonesia yang dipeloporinya ketika hubungan kedua negara menjadi amat tidak selesa lantaran beberapa isu yang meretakkan. Allahyarham memberi masa dan ruang yang seluas-luasnya untuk saya memberi pandangan dalam mesyuarat tersebut.
Ketika saya berjalan bersama dengannya menuju ke sebuah restoran Cina di Trafford Park, Manchester, Allahyarham yang keletihan mencadangkan agar kami singgah di sebuah Café Itali yang berdekatan. Apabila saya tiba ke tempat duduk dengan dua cawan kopi, Allahyarham bangun lalu bertanya kepada saya “Cikgu nak kek?” Saya lalu menjawab “Rasanya tidak sebab nanti kita nak makan lagi di restoran Cina itu.” Namun tidak lama selepas itu, Allahyarham kembali ke tempat duduk sambil membawa sepotong kek bersama dua batang sudu kecil. Sambil berbual kami berkongsi potongan kek tersebut dalam piring kecil yang sama dengan menggunakan sudu kecil tersebut.
“Budak Melayukah itu?”, Allahyarham bertanya kepada saya apabila pandangannya tertumpu kepada seorang pekerja perempuan bertubuh kecil yang sedang sibuk mengemas meja berhampiran kami. “Ya. Budak Melayu”, jawab saya ringkas kerana amat mudah mengenali anak Melayu pada tudung yang mereka pakai. “Rajin dan yakin dengan tugasnya”, sambungnya lagi. Walaupun para pelajar luar negara tidak digalakkan bekerja di UK, namun ada juga dalam kalangan mereka yang terpaksa demi mencari sedikit wang saku untuk menampung perbelanjaan dan kehidupan. “Apakah yang Cikgu nampak ada padanya?” tanya mantan Menteri Besar Kedah itu. “Seorang anak Melayu yang akan berjaya dalam hidupnya kerana dia belajar berdikari di negara orang. Jika kita dibiar bersendirian, kita seperti terdampar di lautan yang luas dan akan belajar untuk tidak hanyut atau tenggelam. Itu adalah lumrah kehidupan”, jelas saya.
“Tidak dalam politik di Malaysia”, tiba-tiba Allahyarham bersuara semula setelah diam untuk seketika. “Apa maksud Tan Sri?”, saya mengharapkan penjelasan. “Semasa saya menjadi manager Standard Chartered Bank di Seremban, ‘office-boy’ saya merupakan ketua Cawangan UMNO. Dia memujuk saya menyertai UMNO dan menjadi setiausahanya kerana banyak yang dia tak tahu terutamanya tentang surat menyurat. Ini bermakna di bank, saya bossnya dengan mengarahkan dia membuat itu dan ini tetapi di dalam politik, dia boss saya. Itulah keadaan politik di Malaysia. Bukan sahaja UMNO tetapi semua parti adalah sama. Malahan ada yang lebih teruk lagi. Saya nampak ramai cerdik pandai Melayu keberatan untuk aktif dalam politik kerana Bahagian atau Cabang mengamalkan dasar ‘tutup pintu’ kepada golongan ini walaupun mereka cuba menafikannya. Dalam pemilihan parti ‘kau undi aku dan aku undi kau’(cai) dan akhirnya yang berkebolehan hanya menjadi seperti pengemis dalam parti sendiri.Politik di Malaysia tertumpu bukan kepada perjuangan tetapi jawatan dan kuasa. Para pemimpin di peringkat Pusat pula lebih menjaga mereka yang berjawatan di peringkat Bahagian atau Cabang walaupun mereka ini sama sekali tidak menguntungkan pada agama dan negara”, kata ahli politik veteran itu dan saya hanya mampu merenungnya.
“Cikgu lahir dalam era yang salah”, sambung Allahyarham sebaik sahaja meneguk kopi dari cawannya. “Saya tak mengerti”, jelas saya sambil menunggu penjelasan seterusnya. “Cikgu lahir dalam zaman yang salah. Cikgu sentiasa bercakap tentang kemenjadian bangsa Melayu. Kecintaan Cikgu pada bangsa Melayu sangat tinggi. Sepatutnya Cikgu lahir di zaman Tanah Melayu sedang berjuang mendapatkan kemerdekaan. Ketika itu para pemimpinnya punya harga diri dan kecintaan pada bangsa dan tanah air mereka. Tidak lagi.”
“Tan Sri bagaimana? Apakah Tan Sri juga akan menyisihkan saya?”, saya bertanya sambil tersenyum. “Saya suka mendengar ide-ide Cikgu. Itu sebabnya saya tidak melepaskan peluang untuk datang ke England apabila mendapat tahu bahawa Cikgu membawa diri ke sini”, Allahyarham menjelaskan. Sudah menjadi kebiasaan buatnya untuk datang ke Port Dickson untuk berbual dan makan bersama saya. Saya juga kerap berkunjung mencarinya di Bangsar dan bertemu di pejabatnya.
“Tan Sri masih tidak menjawab soalan saya. Katakan Tan Sri berjawatan Menteri dan saya pula sebagai manager bank. Lalu adakah Tan Sri mengambil saya atau Office boy itu? Pemain politik…”, saya tidak menghabiskan ayat saya tetapi menghirup kopi yang masih banyak di dalam cawan.
“Mengapa dengan Pemain Politik?”, tanya mantan Naib Presiden UMNO itu. Allahyarham seperti menyedari bahawa saya sengaja tidak mahu menghabiskan ayat saya. “Katakan. Jangan takut. Saya tidak akan. tersinggung”, desak Allahyarham lagi. “Pemain politik di Malaysia adalah aneh. Ketika punya jawatan dan kuasa, mereka adalah Politikus. Ketika kuasa sudah tiada, barulah mereka bersusah payah mahu dikenali sebagai negarawan. Ibarat orang yang di ambang kematian. Ketika hendak dijemput malaikat maut, barulah mahu mengingat Tuhan”, saya menjelaskan. Allahyarham terdiam dan merenung ke arah saya. Jarinya memegang hujung sudu kecil itu. “Politikus itu yang mati atau perjuangan itu yang sudah tidak benyawa?”, Allahyarham seperti menyuruh saya mencari jawapannya sendiri.
Bersambung…..