JDT makan KL City 3-0 sebagai ‘alas perut’ sebelum menuju Liga Super 2023
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus melaungkan amaran akan menguasai Liga Super 2023 apabila membenam Kuala Lumpur City (KL City) 3-0 pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Membariskan pasukan terkuat, skuad Harimau Selatan yang dipimpin Estaban Solari tidak berhadapan masalah menguasai perlawanan walaupun beraksi dalam keadaan hujan renyai dan padang basah.
Malah, JDT tidak menunjukkan belas ihsan apabila terus melancarkan serangan bertali arus sebaik perlawanan bermula, sekali gus memaksa skuad pimpinan Bojan Hodak berkampung di kawasan sendiri.
Walaupun menguasai perlawanan, juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu perlu menunggu sehingga minit ke-41 untuk berada di depan menerusi jaringan sendiri Romel Morales, sekali gus meletakkan pasukan pelawat mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, JDT tidak memberi ruang kepada pasukan tuan rumah apabila sering mengatur serangan berbahaya bagi mencari tambahan gol.
Pemain naturalisasi terbaharu Endrick Dos Santos memberi isyarat dia boleh menjadi penggempur kepada Harimau Malaya kelak apabila menanduk masuk gol kedua JDT pada minit ke-52 hasil hantaran Oscar Arribas.
Hodak yang melihat jentera serangan pasukannya kurang menyengat segera membuat sekurang-kurang enam pertukaran pemain dalam usaha merapat jurang gol.
Ternyata, keputusan itu ‘menghidupkan’ kembali jentera serangan skuad ‘The City Boys’ apabila berjaya menembusi kekebalan pertahanan lawan.
Peluang terbaik KL City untuk merapatkan jurang hadir pada minit ke 70, namun sepakan Paulo Josue dari luar kotak penalti tersasar.
Kelekaan pertahanan KL City dihukum pemain licik JDT, Arif Aiman Hanapi apabila dia menyumbat gol ketiga skuad Harimau Selatan pada minit terakhir, sekali gus menyaksikan perlawanan berkesudahan 3-0.