Bola SepakSukan

JDT kukuh di persada Liga Super menjelang penangguhan Liga-M

JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal sebagai pendahulu Liga Super menjelang penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M), yang secara rasminya bermula Isnin ini, sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.

Skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun sekadar mencatat keputusan 1-1, berdepan Felda United pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan musim ini.

JDT di bawah bimbingan ketua jurulatih Benjamin Mora tidak pernah tewas dalam tiga aksi pertama.

Perlawanan malam ini turut melakar sejarah dalam lipatan bola sepak negara khususnya saingan Liga Super, selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menjalankan perlawanan minggu ini tanpa penonton, sebagai langkah keselamatan berikutan penularan wabak COVID-19.

Penyerang kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-21, sebelum bekas penyerang skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Perancis Frederic Bulot, menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan permainan ‘tiki-taka’ dalam kotak penalti lawan.

Pemain import Gonzalo Cabrera berpeluang memberikan tiga mata berharga kepada pasukan, namun sepakan penalti diambil bijak ditampan penjaga gol Muhaimin Mohamad pada minit ke-62, sebelum kedua-dua pasukan buntu dalam menjaringkan gol kemenangan sehingga tamat perlawanan.

Di Stadium Hang Jebat, gol tunggal penyerang berbisa Pahang Dickson Nwakaeme pada minit ke-67 memastikan skuad Tok Gajah meraih tiga mata selepas mengatasi Melaka 1-0, untuk meraih kemenangan kedua musim ini.

Pada masa sama, Perak menarik nafas lega apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mengikat Sabah 2-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pujian harus diberikan kepada penyerang kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, yang meledak dua gol pada minit ke-16 dan minit ke-80 untuk menafikan kedudukan selesa diraih Sabah, menerusi gol pemain tengah Azizan Nordin pada minit kelima, dan Kassy Guy Gnabouyou pada minit ke-27.

Dalam aksi Liga Premier Kelantan United, terus memberi tekanan kepada pendahulu Terengganu FC II, selepas melakar kemenangan 3-0 menundukkan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, sekali gus mengukuhkan kedudukan kedua di belakang TFC II, dengan hanya perbezaan tiga mata.

Di Stadium Sarawak, Kuala Lumpur mencatat kemenangan kedua musim ini, selepas menewaskan Sarawak 2-1 sementara Selangor 2 melakar kemenangan kedua berturut-turut musim ini, dengan menjinakkan Perak II 2-1, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sementara itu, Pulau Pinang seri 0-0 menentang Kuching FA di Stadium Bandaraya, manakala pertembungan antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Perbandaran Selayang, turut berakhir dengan keputusan 0-0. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button