JDT, Kedah lepasi halangan pusingan pertama
JUARA bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2020, selepas mengatasi Kuching FA 1-0 dalam aksi pusingan pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Juara Liga Super 2020 itu akan membuat perhitungan menentang juara tiga kali Kuala Lumpur yang diberikan ‘bye’ ke pusingan lapan pasukan terbaik, selepas Sabah tidak mengambil bahagian dalam kejohanan tertua Asia Tenggara itu musim ini.
Pada aksi tersebut, penyerang muda JDT Arif Aiman Mohd Hanapi muncul wira pasukan, apabila menyumbat gol kemenangan perlawanan pada minit ke-19 selepas memanfaatkan tampanan Santo dalam kotak penalti, sebelum menolak bola menewaskan penjaga gol Mohammad Azri Abdul Ghani.
Meskipun terdapat perbezaan jurang antara kedua-dua pasukan selain keputusan pengendali JDT Benjamin Mora menurunkan beberapa pemain utama termasuk import Diogo Santo, namun Kuching FA yang menamatkan kempen Liga Premier di kedudukan keempat, tetap memberikan saingat sengit sepanjang aksi.
Pada masa sama, juara empat kali dan finalis edisi 2019 Kedah melangkah ke pusingan seterusnya dengan penuh bergaya selain berjaya melunaskan misi membalas dendam apabila mengatasi Pahang 3-2 di Stadium Darul Aman.
Dalam pertembungan di Alor Setar itu, duka kekalahan 1-2 di tangan Pahang dalam saingan Liga Super, September lepas, menjadi pemangkin semangat skuad Lang Merah dan ia dibuktikan apabila anak buah Aidil Sharin Sahak mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.
Pemain kebangsaan Singapura Muhammad Shakir Hamzah menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-17 sebelum gandingan import Kpah Sherman dan Kipre Tchetche, masing-masing meledak jaringan pada minit ke-36 dan minit ke-44.
Tersentak dengan kedudukan tersebut, Pahang bangkit mengawal permainan di separuh masa kedua sebelum berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Muslim Ahmad pada minit ke-49 dan Mohd Faizal Abdul Rani pada minit ke-88, namun Pahang buntu mencari gol penyamaan biarpun masa tambahan diberikan selama lima minit.
Menanti Kedah di suku akhir adalah antara juara terbanyak dengan rekod 33 kali Selangor dan Melaka yang akan bertemu pada Ahad.
Dalam pada itu, juara Liga Premier Pulau Pinang tidak berdepan kesukaran mengatasi Felda United FC 3-1 di Stadium Bandaraya, sekali gus bakal berentap dengan juara daripada pertembungan antara UiTM FC dan Kelantan berlangsung pada Ahad.
Tiga gol skuad Harimau Kumbang masing-masing dijaringkan Anselmo Casagrande minit ke-37, Mohammad Amer Azhar (minit ke-62) dan import dari Korea Selatan Lee Chang Hoon pada minit ke-76, sementara Nicolas Velez menyumbat gol sagu hati skuad ‘The Fighters’ pada minit ke-49. – BERNAMA