Jauhi budaya fitnah, berfikiran sempit, titah Agong
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah semua pihak menjauhi budaya memfitnah dan berfikiran sempit, yang disifatkan baginda boleh memberi kesan negatif kepada pembangunan bangsa dan negara.
Baginda bertitah sifat hasad dengki dan berfikiran negatif tidak harus diamalkan setiap rakyat kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.
“Mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah ini, beta mengajak rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara serta halus dalam berpesan.
“Harmoni dalam persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah baginda sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan 1445H di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi serta Fadillah Yusof.
Sultan Abdullah turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan kepada bekas Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam Abdul Monir Yaacob dan Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakr Amad yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
Pemilihan kedua-dua tokoh itu berdasarkan sumbangan besar mereka dalam perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat dari dalam dan luar negara. – SM