Nasional

Jasa diguna untuk momok DAP anti-Islam, anti-Melayu, kata Kit Siang

JABATAN Hal Ehwal Khas (Jasa) didakwa telah digunakan untuk memomokkan DAP  sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-raja dan komunis bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu 1MDB dan kleptokrasi.

Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang mendakwa, jabatan itu sebuah badan yang paling tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab di Malaysia.

Menurutnya, jabatan tersebut melanggari prinsip Rukun Negara dan merupakan agensi utama kerajaan menyebarkan penipuan dengan mendakwa skandal kewangan 1MDB sebagai “berita palsu”.

“Saya amat terkejut melihat kerajaan Perikatan Nasional bukan sahaja memutuskan untuk mengembalikan Jasa yang merupakan agensi pemomokan utama kerajaan (Datuk Seri) Najib, tetapi memperuntukkannya dengan belanjawan yang teramat besar, sejumlah RM85.5 juta untuk tahun hadapan, yang hampir tiga kali ganda (RM30 juta) jumlah peruntukan yang diberikan kepada agensi tersebut dalam tahun terakhir pemerintahan Najib.

“Nampaknya, kerajaan Perikatan Nasional ini telah berpusing semula ke arah yang sama seperti kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang ditolak rakyat pada 9 Mei 2018,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Menurutnya, Kerajaan Pakatan Harapan telah membubarkan Jasa semasa pemerintahannya kerana badan tersebut didakwa menjadi alat propaganda kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kit Siang turut mendakwa Ketua Pengarah Jasa lebih berkuasa daripada seorang Menteri Kabinet.

“Malah, Ketua Pengarah Jasa ini merupakan seorang yang lebih tinggi daripada Menteri, dengan gaji yang lebih tinggi berbanding dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Di mana Jasa ini diletakkan secara rasmi sebagai sebuah jabatan, dan Ketua Pengarah JASA ini berntanggungjawab secara terus kepada Perdana Menteri dan bukannya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia,” kata Kit Siang.

Kit Siang turut memberi kata dua kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin agar tidak menghidupkan kembali Jasa jika mahu mendapat sokongan ahli Parlimen meluluskan Belanjawan 2021.

“Jika Perdana Menteri mahukan sokongan semua Ahli-ahli Parlimen terhadap Belanjawan 2021 ini, beliau perlu menggugurkan idea buruk mengembalikan Jasa ini sebagai sebuah alat propaganda yang mengetuai usaha-usaha memomokkan DAP dan para pembangkang kerajaan PN.

“Peruntukan RM85 juta ini sepatutnya disalurkan kepada usaha menggalakkan perpaduan dalam rakyat yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya dalam negara kita yang bertanggungjawab terhadap sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat bipartisan,” kata Kit Siang.

Kerajaan pimpinan PH telah membubarkan Jasa sebaik memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 hingga menyebabkan 800 kakitangan kontrak dalam Jasa menjadi penganggur.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button