Jaringan Werner sekadar bantu Jerman diikat Sepanyol
TIMO Werner sekali lagi menjaringkan gol, tetapi dia gagal membantu Jerman melakar kemenangan ke atas Sepanyol setelah kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Selepas babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan, pemain Chelsea yang ditandatangani dengan harga 54 juta pound (RM295 juta) itu meledak gol pembukaan pada minit ke-54 di Stuttgart menerusi rembatan rendah yang kencang berjaya menewaskan penjaga gol, David de Gea.
Persembahan Werner itu sudah memadai memberi gambaran kepada peminat Blues apa yang bakal menanti mereka dalam aksi Liga Perdana Inggeris nanti.
Namun, bek kiri Valencia, Gaya menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan yang sekali gus menyaksikan Sepanyol berjaya mengikat Jerman dengan keputusan seri 1-1.
Dalam perlawanan di tempat lain, Wales mencatat kemenangan ke atas Finland hasil jaringan Kieffer Moore setelah menerima hantaran lintang daripada Dan James pada minit ke-80.
Gareth Bale di bawa keluar dalam babak pertama permainan kerana tidak cergas sepenuhnya, tetapi Wales masih mampu melakar kemenangan tanpa bintang Real Madrid itu hasil rembatan Moore.
Sementara itu, Republik Ireland mencatat keputusan seri 1-1 menerusi gol lewat permainan pertahanan Celtic, Shane Duffy pada perlawanan pertama Stephen Kenny sebagai peneraju pasukan, untuk berkongsi satu mata dengan Bulgaria.
Jaringan Bozhidar Kraev pada separuh masa kedua meletakkan Bulgaria di depan, tetapi tandukan dramatik Duffy pada hujung saingan menyelamatkan Republik Ireland daripada ditimpa kekalahan.
Dalam pada itu, Hungary, Rusia dan Ukraine mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing, manakala Faroe Islands menundukkan Malta 3-2.
Awal pagi esok, Scotland akan bertemu Israel di Hampden Park, manakala Ireland Utara bakal terbang ke Romania.
Itali pula akan menerima kunjungan Bosnia-Herzegovina dan Belanda menentang Poland. – Mirror UK – SM