JARING minta sektor perikanan dapat terus beroperasi, ikut SOP
PERSATUAN Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) menyambut baik pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) namun memohon kerajaan membenarkan rantaian bekalan sektor perikanan dapat terus beroperasi bagi memastikan rantaian bekalan tidak terputus.
Setiausahanya, Azrilnizam Omar berkata, pada pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pertama tahun lepas, nelayan pantai terutamanya, tidak dapat menjual hasil tangkapan mereka walaupun dibenarkan ke laut dan beliau berharap, kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
Selain itu, katanya, isu peraih enggan membeli hasil tangkapan dan masalah logistik hasil laut yang berlaku semasa PKP 1.0 perlu ditangani sebaik mungkin oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta agensi berkaitan perikanan iaitu Jabatan Perikanan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia supaya memastikan rantaian bekalan sektor perikanan dapat terus beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya lagi, kerajaan perlu tangani isu rantaian bekalan sektor perikanan ini dengan sebaiknya bagi memastikan kehidupan komuniti nelayan tidak terjejas.
“Dan juga supaya jaminan bekalan hasil laut negara tidak terganggu dan boleh menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan serta kenaikan harga di pasaran,” katanya dalam kenyataan yang sama. – SM