Janji Zamzuri atasi banjir, bina mini stadium
Oleh ZAINUDDIN AZIM
ALOR GAJAH – Pengalaman sebagai bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) selama 22 bulan akan digunakan oleh calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Zamzuri Ariffin untuk menyelesaikan masalah banjir yang masih melanda pekan tersebut terutama di Dataran Keris.
Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Alor Gajah menegaskan itu adalah janjinya kepada penduduk di sini jika memberi mandat untuk beliau memenangi kerusi DUN Rembia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Selain itu tegasnya, beliau akan melaksanakan pembinaan mini stadium yang telah dirancangnya sewaktu menjawat jawatan selaku Yang Dipertua MPAG sebelum ini.
“Semua perancangan tersebut adalah usaha saya tetapi hingga kini perkara tersebut tidak dilaksanakan.
“Jika rakyat memilih saya, itulah dua perkara awal yang akan saya lakukan untuk penduduk di Alor Gajah. Banyak lagi pelan perancangan saya susun tetapi tempoh 22 bulan adalah tempoh yang singkat untuk membuat bermacam-macam perkara,” ujarnya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan PN DUN Rembia di sini hari ini.
Pada PRN nanti, Zamzuri berdepan saingan lima penjuru membabitkan penyandang Datuk Muhammad Jailani Khamis (BN-UMNO), K. Murali (Bebas), Sabarudin Kudus (Bebas) dan Zamri Pakiri (PH-PKR).
Berhubung masalah banjir di pekan Alor Gajah kata Zamzuri, segala perancangan berkaitan pembinaan tebatan banjir melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih belum dilaksanakan hingga kini.
Jelasnya, jika cadangan tebatan banjir yang dicadangkan itu dilaksanakan, sebanyak 80 peratus masalah banjir dapat diatasi.
Mengenai pembinaan mini stadium katanya, beliau telah mengemukakan cadangan pembelian sebidang tanah seluas 13 ekar yang mendapat persetujuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi tidak dilaksanakan.
Jika menang pada PRN ini kata Zamzuri, beliau berjanji akan meneruskan usaha itu dengan tujuan bagi memberi kemudahan yang cukup selesa kepada golongan muda bermain bola sepak.