Semua pemimpin dan penyokong parti politik diingatkan agar tidak menyentuh isu sensitif berkaitan agama, kaum dan raja (3R) sepenjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya yakin semua pihak terlibat sewaktu PRK nanti tidak akan menyentuh isu 3R berdasarkan pengalaman dan kematangan pengundi di Johor nanti.
“Saya rasa bangsa Johor lagi matang jugak dalam apa tu menghadapi pilihan raya kecil ini di Parlimen pulai dan jugak DUN Simpang Jeram.
“Insya-Allah persiapan kita pun, saya mengingatkan supaya takde lagi isu-isu sensitif berkaitan 3R dimainkan. Kita harap begitulah kerana kita tak mahu buka kertas siasatan atas isu-isu begini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-74 Yang di- Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.
Pada istiadat itu Ketua Polis Negara turut dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Mengulas lanjut Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap siaga bagi menghadapi kedua-dua PRK berkenaan bagi memastikan kelancaran perjalanan itu.
Menurutnya, beliau tidak diberikan taklimat oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berhubung persiapan yang akan dilakukan pada PRK itu nanti.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Salahuddin, 61 tahun, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN), meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam akibat pendarahan otak.
Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.
Hari pengundian awal ditetapkan pada 5 September ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Mengulas isu 13 anggota dan seorang pegawai kanan polis yang ditahan tugas selepas diberkas dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Seremban, Negeri Sembilan, Sabtu lalu beliau berkata, tindakan tahan kerja telah diambil terhadap mereka.
“Kita akan membincangkan jugak tindakan kepada anggota-anggota dan pegawai yang terlibat dengan kes-kes yang serius walaupun mereka belum lagi dituduh di Mahkamah.
“Tetapi tindakan telah diambil awal lagi disebabkan perkara-perkara begini sepatutnya kita pihak polis sebagai pegawai dan anggota patut menjaga disiplin tak menyalahgunakan kuasa, tak terlibat dengan rasuah sepatutnya kita ambik tindakan awal untuk tahan keje,” ujarnya. – SM