Politik

Jangan salahkan Anwar tuntut PM-8

Komentar

DALAM politik tanah air, tidak ada cerita yang hebat selain kisah kerjasama, pertentangan dan hubungan antara bos dan orang kanannya yang berlangsung penuh suspens. Epik.

Sebelum 1997, gandingan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah masing-masing selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Pada masa sama antara Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Mereka tak ubah macam isi dengan kuku.

Memang benar, Dr. Mahathir senang dengan Anwar semenjak beliau memasuki UMNO lagi pada 1982.

Bimbingannya untuk menjadikan Anwar sebagai pengganti terang lagi bersuluh kepada semua terutama buat Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Anwar selalu berada dalam Kabinet dalaman Mahathir.

Bagaimanapun pemecatan Anwar pada 1998 mengakibatkan titik mula orang Melayu berpecah-belah dengan terbahagi kepada kem-kem tertentu.

Demonstrasi jalanan dan reformasi serta fitnah-memfitnah menjadi tular dari mulut ke mulut sebelum kritikal dengan kedatangan laman sosial.

Selepas 18 tahun berlalu, Dr. Mahathir akhirnya berjabat tangan dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September 2016. Permusuhan dinoktahkan.

“Beliau (Dr. Mahathir) sudah berubah dan komited terhadap agenda reformasi,” kata Anwar.

Gandingan Dr. Mahathir-Anwar serta parti-parti DAP, PKR, Bersatu dan Amanah dengan Dr. Mahathir selaku Pengerusi Bersatu menerusi strategi yang tersusun bersekali hembusan ‘tsunami rakyat’ akhirnya menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

DIBOOST DARI 1982-1997

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kemudian diangkat mengisi jawatan nombor dua kerajaan, Timbalan Perdana Menteri.

Sementara pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan yang turut dijanjikan sendiri oleh Dr. Mahathir tidak dibuat secara terburu-buru dan dijalankan mengikut perancangan asal – pada pertengahan penggal di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Anwar tentu sekali menyedari sejarah kariernya dalam politik yang di ‘boost’ dari tahun 1982 hingga 1997 tidak lagi sama macam sekarang.

Beliau yang muda baru berkeris masuk UMNO pada 1982 melalui loncatan tingkap, bukan menerusi pintu biasa.

Selama 16 tahun diasuh oleh pucuk pimpinan UMNO waktu itu, meloncat dari satu tahap ke tahap yang lain hingga sampai menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, tetapi ‘tersadung’ pada 1998, hanya selangkah ke pangkalan.

Suara Merdeka percaya Anwar semestinya tidak boleh disalahkan sekiranya beliau melayani keinginannya menjadi Perdana Menteri kerana itulah persetujuan dalam rundingan asal kepemimpinan PH bersama Dr. Mahathir.

Antaranya Dr. Mahathir akan memegang jawatan nombor satu itu sekurang-kurangnya dua tahun.

Dan Anwar sudah 11 tahun dalam penjara yang tentu sekali merasakan usianya tidak tertanggung lagi untuk melangkah masuk ke Putrajaya.

Lagipun adalah logik Anwar yang kini Presiden PKR beranggapan begitu kerana PKR merupakan pemilik kerusi Parlimen terbanyak 50 kerusi, selain jentera PKR di bawahnya lebih cekap walaupun di sesetengah negeri, DAP mengatasi PKR.

LEBIH BERDIPLOMASI

Malah, Dr. Mahathir pun kelihatannya `lebih berdiplomasi’ daripada Dr. Mahathir yang Suara Merdeka kenali, terutama di era 90-an.

Meskipun masih berbisa, tahan lasak dan amat dihormati rakyat dan dunia, namun keseluruhan survival beliau masih banyak bergantung kepada Bersatu yang memiliki sejumlah bilangan kerusi yang kecil, 14.

Realiti hari ini, tiada pensyarah politik, walau bagaimana melangit sekalipun ilmu kajian sains politik yang dipelajarinya, yang upaya mencongak, meramalkan, waima mengajar ilmu politik sedalam dan seluas pengalaman yang telah dialami oleh seseorang pengamal politik.

Pengalaman dalam hal ini guru yang paling berkesan. Apatah lagi buat Anwar.

Anwar sudah dua kali mengungkapkan perkataan que sera sera – “apa yang terjadi, terjadilah”. Pendek kata, ‘masa hadapan di luar kawalan”.

Menghayatinya membuatkan Suara Merdeka mengingatkan diri sendiri akan keperluan menjalani hidup sebagai manusia yang bersahaja, manusia seutuhnya dan manusia yang baik.

Yakni, tetap melangkah dan menerima apapun yang terjadi nanti.

Jangan dilupai nasib, jatuh bangun dalam politik adalah kehendak dan ketentuan-Nya jua.
– SM

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button