Nasional

Jangan kompromi kepentingan kesihatan awam – Tok Mat

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta kerajaan memastikan kepentingan kesihatan umum tidak dikompromi dalam apa jua keadaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini termasuk menangguhkan dahulu operasi perniagaan seperti kedai gunting rambut dan dobi.

Menurut beliau, keputusan untuk membuka semula beberapa jenis perniagaan harus diberi pertimbangan semula sesuai dengan seruan Kementerian Kesihatan Malaysia dan reaksi orang ramai.

“Operasi perniagaan seperti kedai gunting rambut dan dobi sebaik-baiknya perlulah ditangguhkan kerana ia bukan keperluan mendesak atau non-essentials. Malah penganjuran bazar Ramadan juga tidak seharusnya diberikan kelonggaran.

PKP
POLIS Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bekerjasama mengadakan sekatan jalan raya memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang jangkitan Covid-19.

“Reaksi orang ramai terhadap pembukaan perkhidmatan ‘non-essentials’ ini jelas tidak bersetuju. Malah kebanyakan pemain sektor tersebut juga telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk beroperasi dalam keadaan pandemik sebegini.

“Pelaksanaan PKP mesti dikuatkuasakan dengan tegas sehingga Malaysia berjaya mencapai unjuran kes COVID-19 yang agak stabil,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Kerajaan memutuskan pelanjutan PKP yang memasuki fasa tiga sehingga 28 April ini.

Bagaimanapun beberapa jenis perniagaan dan perkhidmatan dibenarkan beroperasi seperti sektor pembinaan, penyelidikan dan pembuatan serta kedai dobi dan kedai gunting rambut.

Mohamad berkata, setiap rakyat Malaysia harus memainkan peranan dalam menyumbang kepada survival komuniti bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dibendung segera.

“Tiada yang lebih penting dari memelihara nyawa dan keselamatan umum.

“Insya-Allah, sebaik sahaja pandemik ini berakhir, kita boleh bergaya semahunya dengan apa jua penampilan, berhari raya sepuasnya, menganjurkan pelbagai bazar dan bukan sekadar bazar Ramadan dan melakukan ziarah-menziarahi saudara-mara dan rakan taulan selayaknya.

“Sehingga saat itu tiba, tugas semua kita ialah memutuskan rangkain pandemik ini dan mengurangkan jangkitan. Duduklah rumah, jaga kebersihan dan amalkan penjarakan fizikal!,” kata beliau.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mencadangkan supaya Malaysia memiliki pusat kawalan dan pencegahan penyakit (CDCP) seperti Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi pandemik seperti Koronavirus (Covid-19) pada masa akan datang.

Institusi sedemikian kini mesti diutamakan dan kerajaan tidak lagi perlu bergantung kepada pendekatan secara ‘one off’ atau ‘ad-hoc’.

Katanya, Malaysia kini perlu bertindak pantas terhadap ancaman yang bukan tradisional. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button