Rencana

Pelarian Rohingya bantu kita tanpa kita sedar

AGAK sedih melihat komen rakyat Malaysia mengenai sekumpulan pelarian Rohingya yang mendarat dengan kapal kecil di Langkawi baru-baru ini.

Ramai yang mempertikaikan kewajaran kerajaan mengambil tanggungjawab bagi menyelamatkan pelarian ini dengan memberi mereka tempat perlindungan dan makanan.

Akhirnya pelarian ini akan berkelakuan menjengkelkan dan tidak tahu menghormati undang-undang serta nilai moral di dalam masyarakat di negara ini.

Dalam erti kata mudah menyebabkan ketidakstabilan sosial dan lebih tepat menyebabkan kekacauan.

Saya adalah antara wartawan yang pernah ke kem pelarian Rohingya di Cox’s Baza, Bangladesh. Saya kongsikan pengalaman supaya membuka mata kita.

Saya tidak berhasrat untuk menceritakan kedhaifan kehidupan di sana, kerana satu dunia sebenarnya telah mengetahuinya, tetapi semua seolah-olah memalingkan muka dan memejamkan mata.

Sedang segala yang berlaku adalah pengajaran untuk kita semua dalam pelbagai aspek.

Aspek keamanan di mana kita perlu menghormati kaum lain dan pegangan agama mereka bagi mengelakkan perpecahan dan ketegangan kaum serta agama.

Perkara utama yang saya lihat di sana ialah pembabitan petugas kesihatan sama ada dari pihak kerajaan Malaysia, mahu yang sampai dengan pertubuhan bukan kerajaan.

Ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Pertahanan telah sendiri pergi ke kem pelarian berkenaan bagi melihat bagaimana pasukan tentera kita memasang hospital di medan.

Ia bertujuan bagi menyediakan kemudahan kesihatan kepada para pelarian yang jumlahnya terlalu ramai sehingga tidak mampu ditangani oleh kerajaan Bangladesh dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Pelarian.

Di kem pelarian yang padat ini penyakit mudah ditularkan, sehingga petugas media yang membuat liputan dinasihatkan memakai topeng muka dan sentiasa membawa cecair nyah kuman.

Pakaian yang kami pakai juga diarahkan supaya diasingkan termasuk kasut dan sehingga saya terlupa untuk mengeluarkannya dari dalam bungkusan sehingga artikel ini ditulis barulah saya teringat kembali.

Begitulah betapa takutnya kepada penularan wabak di kawasan kem pelarian berkenaan.

Itu bagi petugas media yang hanya beberapa hari berada di kem berkenaan, berbanding petugas perubatan yang berbulan-bulan lamanya di sana.

Semasa di sana saya juga bertemu ramai pelajar universiti yang bergerak bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan bagi menghulurkan bantuan keperluan perubatan dan tenaga untuk menyantuni pelarian.

Jadi apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Tan Sri Dr Jemilah Mahmood atas pelantikannya sebagai Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri adalah sangat bertepatan.

Dr. Jemilah, 60, yang juga pengasas Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) adalah pemenang ASEAN Prize 2019.

Beliau adalah rakyat Malaysia pertama menerima anugerah yang mula diperkenalkan pada 2018.

Dalam situasi dunia dan negara berdepan dengan penularan wabak COVID-19 orang seperti Jemilah dan semua pekerja kesihatan termasuk yang secara sukarela sangat diperlukan, kerana pengalaman mereka.

Jika tidak kerana kejadian membabitkan Rohingya kita sukar untuk menimba pengalaman kerana kebanyakan krisis kemanusiaan berlaku di negara-negara Afrika dan Asia Barat.

Kini ia berada di depan mata kita sendiri dan ia peluang untuk kita belajar bagi digunakan untuk kepentingan sejagat.

Saya melihat peranan yang dimainkan oleh Mohamad Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi yang memimpin MAPIM dalam mendepani isu kemanusiaan di Cox’s Bazar.

Cikgu Azmi pernah pengsan ketika berada di kem pelarian tersebut dan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana terlalu letih.

Bahkan kerja kesukarelawanan ini turut menarik perhatian keluarga diraja termasuk Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Raja Muda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berangkat bagi menyampaikan sumbangan dan bantuan kemanusiaan dari pelbagai pihak di Malaysia kepada pelarian tersebut.

Memang sikap pelarian ini sangat menjengkelkan kerana mereka semua sekian lama dinafikan daripada mendapatkan pendidikan formal oleh kerajaan Myanmar.

Ketika makanan ringan mahu diagihkan mereka menyerbu dan bergaduh untuk mendapatkannya.

Ada seorang budak menangis tanpa henti kerana orang merampas biskut yang kami agih dari tangannya hingga kami terpaksa memujuknya.

Akhirnya saya memutuskan untuk mengagihkan makanan ringan atau jajan ini kepada ketua di kawasan itu.

Jajan tersebut adalah sumbangan rakan-rakan yang mahu saya sampaikan kepada kanak-kanak di kem pelarian. Saya serahkan satu beg jajan dan terus berlaku.

Dalam keadaan tidak menentu itu para pelarian tetap amanah. Ketika kenderaan kami hendak bergerak ada seorang remaja memulangkan kembali beg saya tadi.

Mereka sebenarnya sangat baik hati dan kuat agama. Surau dan masjid dibina ala kadar di kem pelarian tidak pernah kosong.

Tetapi kerana tiada pendidik formal mereka sukar memahami nilai-nilai moral sejagat. Sebab itulah kita tidak dapat melihat seorang jurucakap profesional dalam kalangan Rohingya di peringkat global yang berjuang membela nasib mereka sendiri.

Saya yakin ribuan petugas yang pernah melakukan kerja menguruskan pelarian kini tampil sebagai petugas sukarela semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk fasa ketiga dan pastinya pengalaman yang ditimba sangat berguna pada masa ini.

Suatu yang kita harus sedar ialah seluruh dunia jumlah pekerja kesihatan semakin merosot, sedangkan penularan wabak pendemik semakin kritikal

Pensyarah Universiti Harvar, Dr. Panjabi berkata, dalam menangani kesesakan ini adalah penting untuk kemajuan ke arah matlamat yang berkaitan dengan kesihatan, termasuk Matlamat Pembangunan Mampan 3 untuk liputan kesihatan sejagat: “Memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan untuk semua peringkat umur.”

Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) adalah kumpulan 17 matlamat global yang ditetapkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015 untuk membimbing pembangunan global.

Matlamat 3 mengenai liputan kesihatan sejagat diketuai oleh sasaran 3c untuk “meningkatkan pembiayaan kesihatan secara mendadak dan pengambilan, pembangunan dan latihan serta pengekalan tenaga kerja kesihatan di negara-negara berkembang, terutama di negara-negara paling kurang maju dan negara-negara berkembang pulau kecil.”

Memperluas liputan kesihatan kepada semua memerlukan pekerja kesihatan untuk menyampaikan perkhidmatan kesihatan.

WHO telah menetapkan standard minimum untuk kepadatan tenaga kerja sebanyak 4.45 pekerja kesihatan mahir bagi setiap 1.000 penduduk.

Dengan menggunakan indeks minimum ini, dalam Strategi Global Sumber Manusia untuk Kesihatan: Tenaga Kerja 2030,  WHO (World Health Organization, 2016) menganggarkan bahawa pada tahun 2013 terdapat kekurangan global sebanyak 17.4 juta pekerja kesihatan.

Kekurangan mutlak terbesar berlaku di Afrika (4.2 juta) dan Asia Tenggara (6.9 juta), dengan kekurangan terbesar berbanding penduduk.

Dengan mengandaikan kadar pengeluaran semasa dan pekerjaan pekerja kesihatan, defisit global dijangka berkurangan sederhana kepada 14.5 juta menjelang 2030.

Di rantau Afrika, kekurangan tenaga kerja dijangka meningkat hingga 45 peratus menjelang tahun 2030.

Pada masa ini, mencapai perlindungan kesihatan sejagat akan memerlukan anggaran 6.1 juta pekerja kesihatan tambahan.

Pekerja kesihatan komuniti telah terbukti memainkan peranan penting dalam memperluaskan liputan perkhidmatan dan membawa populasi yang jauh dan sukar diakses ke dalam sistem kesihatan kebangsaan.

Peningkatan penggunaan pekerja kesihatan masyarakat dapat membantu mengurangkan jurang tenaga kerja kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan pencegahan, rawatan, dan rujukan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan perhatian kepada kesan model pekerja kesihatan komuniti bersepadu dalam mengurangkan ketidakadilan dalam akses kepada perkhidmatan kesihatan yang penting.

WHO menggalakkan negara-negara untuk mengamalkan campuran kemahiran yang pelbagai dan lestari, memanfaatkan potensi pekerja kesihatan berasaskan komuniti dan peringkat pertengahan dalam pasukan penjagaan primer interprofessional untuk memenuhi matlamat global yang ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan dan Strategi Global Sumber Manusia untuk Kesihatan: Tenaga Kerja 2030.

Selepas membaca tulisan ini saya berharap rakyat Malaysia akan melihat isu pelarian Rohingya dengan lebih manusiawi dan pengajaran di sebaliknya.

Krisis Rohingya dan penularan wabak COVID-19 adalah sarat dengan pengajaran yang boleh kita selam dan dalami.

Krisis kemanusiaan ini bukan sesuatu yang boleh kita anggap bukan masalah kita, kerana ia akan menyebabkan ketidakstabilan dunia yang menjadi tempat kita menumpang. – SM

 

 

(Visited 787 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button