NasionalTravel

Jangan halau pelancong asing, beri perkhidmatan terbaik-MOTAC

PENGUSAHA pelancongan termasuk mereka yang menawarkan inap desa atau homestay, jangan buat perkara yang pelik-pelik sehingga mencetuskan masalah dan menjadi faktor menolak kepada pelancong sama ada pelancong domestik atau pelancong asing untuk melancong di negara kita.

Suatu ketika, kita pernah menerima aduan daripada pelancong, asing seorang wanita warga China yang mendakwa, penolong jurulatih selam skuba cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya ketika menjalankan aktiviti menyelam di dasar laut di Sabah.

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing

Aduan itu dikemukakan oleh pelancong asing berkenaan di lapangan terbang sebelum dia terbang pulang ke negara asalnya.

Itu memberi imej yang buruk kepada negara kerana pelancong yang masuk ke negara ini membawa tukaran mata wang asing dan sepatutnya, operator atau pengusaha pusat-pusat pelancongan di dalam negara menawarkan perkhidmatan terbaik.

Bukan memberi perkhidmatan yang memberi kesan negatif kepada pelancong luar kerana itu akan menjadi ‘modal’ mulut ke mulut dalam kalangan mereka untuk tidak memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Ingatlah bahawa tahun depan, 2024 adalah Tahun Melawat Malaysia dan setiap aduan yang dikemukakan oleh pengadu, perlu diambil kira ditangani dengan cara yang baik.

Bukan menuduh dan menuding jari untuk ‘membersihkan’ imej yang telah tercemar dan tercalar.

Sekali lagi, baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendapati, ada dakwaan pelancong asing yang mendakwa ada sebuah inap desa (homestay) yang didiaminya di Sabah telah memasang kamera tersembunyi.

Dakwaan yang didedahkan di platform media sosial Xiaohongshu yang berpangkalan di Shanghai pada 14 September lalu itu kemudiannya diulang siar oleh portal berita tempatan.

Menteri MOTAC, Dato Sri Tiong King Sing yang mengambil maklum perkara tersebut telah meminta Kerajaan Negeri Sabah khususnya MOTAC Sabah dan agensi yang berkaitan, mengambil serius terhadap perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

Kata Tiong dalam satu kenyataan, hukuman tegas dan setimpal wajar dikenakan kepada mana-mana pihak yang terbukti bersalah.

“Ini kerana perbuatan terkutuk seperti ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi juga menjejaskan imej industri pelancongan negara,” katanya.

Beliau mengingatkan kepada semua pengusaha homestay atau pemilik yang berdaftar dengan MOTAC dan memperolehi penggredan daripada MOTAC, jika melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dan disabitkan bersalah, MOTAC akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Tindakan tegas seperti membatalkan pendaftaran dan menarik balik penggredan mereka,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua pengusaha homestay atau pemilik yang berdaftar di bawah Airbnb untuk meningkatkan taraf kesedaran dan mengambil perhatian serius terhadap disiplin serta memeriksa latar belakang pekerja masing-masing.

“Tidak dinafikan perkara seperti ini mungkin terjadi disebabkan perbuatan peribadi yang dilakukan oleh para pekerja homestay atau Airbnb yang tidak bertanggungjawab.

“MOTAC tidak sesekali akan berkompromi terhadap kejadian seperti ini dan akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya. – SM

BACA Roslan dilantik KSU MOTAC berkuat kuasa hari ini

BACA MOTAC sediakan dana kepada pengusaha penginapan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button