Jangan cetuskan kekecohan, kontroversi
POLIS menasihatkan penyokong semua calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan dan kekecohan semasa hari mengundi esok.
Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Azmir Abdul Razak berkata pihaknya sudah mengatur segala persiapan merangkumi kekuatan anggota bertugas dan logistik untuk membuat pemantauan serta kawalan keselamatan di setiap pusat pengundian agar proses mengundi berjalan lancar.
“Seramai 859 pegawai dan anggota polis ditugaskan meliputi pelbagai cawangan termasuk unit dron, cawangan khas dan jenayah pada hari mengundi esok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort, hari ini.
Sementara itu, Azmir berkata jalan di hadapan Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir yang dijadikan pusat penjumlahan rasmi undi PRK itu, ditutup bermula 8.00 pagi (17 Jan) sehingga 12 tengah malam esok (18 Jan).
“Kita tutup laluan di hadapan dewan itu sahaja. Jalan itu bukanlah laluan utama jadi ia tidak akan mengganggu kelancaran lalu lintas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azmir menjelaskan sebanyak 13 kertas siasatan dibuka daripada 26 laporan polis diterima setakat hari ini.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin. – BERNAMA