QASIDAH antara kueh mueh tradisional Melayu yang cukup popular di Perlis suatu ketika dahulu kini semakin dilupakan.
Ia menjadi kegemaran generasi dahulu kerana teksturnya bukan sahaja lembut dan manis seperti bingka tetapi diharumkan dengan taburan bawang goreng.
Kueh yang berasaskan empat bahan seperti tepung, bawang, gula dan garam ini semakin dilupakan kerana cara membuatnya agak cerewet.
Membuat qasidah juga memerlukan pengalaman serta berbekalkan petua dari orang-orang lama.
Bagaimanapun penduduk sekitar Bintong Selatan dekat Kangar, Perlis bernasib baik kerana berpeluang menikmati kueh ini secara percuma.
Lebih menarik apabila Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bintong Selatan, Rosmuna Ibrahim menjadikan kueh tradisional ini untuk diagih-agihkan kepada penduduk setempat.
“Saya mahu generasi muda merasa sendiri makanan ini yang juga kueh tradisional Perlis pada zaman dahulu ini cukup popular sebagai hidangan berbuka puasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan SUARA MERDEKA di majlis gotong-royong bersama ahli jawatankuasa bagi menyiapkan kira-kira 200 pek kueh qasidah, baru-baru ini.
Kata Rosmuna lagi, sekalipun semasa mengadun bahan untuk membuat kueh qasidah mudah tetapi proses untuk memasaknya memang memerlukan kesabaran yang tinggi dan kekuatan tenaga.
“Hari ini kami menggunakan 10 kilogram tepung gandum, empat jam masa diperlukan untuk mengacaunya tanpa henti,” katanya.
Rosmuna yang mewarisi cara membuat kueh ini dari arwah ibunya mengakui kerana masa yang lama untuk mengacau tanpa henti itu telah membuatkan ramai wanita enggan membuat atau pun menyediakan kueh ini.
Beliau juga berkata, kueh qasidah ini perlu dikacau secara berterusan tanpa henti untuk mengelakkan ia dari hangit.
Masa memasak perlu lama kerana tepung yang dikacau itu nampak berkilat, sekaligus menandakan ia telah dimasak dengan sempurna, kata Rosmuna.
“Jika tidak dimasak dengan betul, kueh ini mudah basi tetapi kalau elok dimasak, ia mampu bertahan selama dua hari tanpa perlu diletakkan di dalam peti sejuk,” katanya.
Beliau berkata, bawang juga perlu digoreng sehingga kuning keemasan supaya nampak cantik dan menambah aroma qasidah.
Rosmuna berkata, pihaknya akan meneruskan agihan kueh qasidah ini di masa-masa akan datang bagi memastikan kueh tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat di utara khususnya di Perlis, tidak luput ditelan zaman. – SM