Nasional

Laporan pelanggaran LRT dibentang kepada Kabinet esok

LAPORAN insiden pelanggaran dua buat tren LRT Laluan Kelana Jaya pada 24 Mei lalu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan anggota Kabinet esok.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong berkata, beliau telah menerima laporan daripada Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden tersebut yang dibentangkan kepada beliau secara maya.

Menurut Ka Siong beliau berpuas hati dengan laporan Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan anggota dan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.

Katanya, hasil laporan tersebut telah dibuat secara profesional, menyeluruh dan terperinci. Malah Jawatankuasa Sisatan itu berjaya menyediakan laporan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada mereka.

Tambah Ka Siong, selain membentangkan laporan Kementerian Pengangkutan juga akan memberikan beberapa cadangan bagi mengelakkan kejadian berkenaan berulang.


“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan Jawatankuasa Siasatan atas usaha keras dalam beberapa hari ini, bertungkus-lumus siang malam termasuk turun padang ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Kelana Jaya, membuat sesi simulasi di tempat kejadian, temusiasat serta meneliti dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan.

Saya berharap dapat membentangkan dapatan laporan ini kepada Kabinet pada hari esok 9 Jun 2021 dengan beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan dan prosedur operasi standard untuk tren RapidRail.

“Pada ketika ini, saya masih meneliti dokumen-dokumen dan hasil penemuan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan,” katanya.

Ka Siong berkata, cadangan yang akan dikemukakan bukan setakat meningkatkan mutu perkhidmatan RapidRail tetapi juga akan dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang di masa hadapan.

Dalam kejadian pada 8.33 malam, Isnin lepas (24 Mei), sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Enam mangsa dilaporkan kritikal dengan tiga daripadanya kini memerlukan alat bantuan pernafasan di unit rawatan rapi.-SM

(Visited 15 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button